WILLOCK (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
WILLOCK (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Impian Tottenham untuk menduduki kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris terjejas selepas jaringan lewat permainan Joe Willock menyaksikan mereka sekadar seri 2-2 dengan Newcastle, hari ini.

Skuad bimbingan Jose Mourinho hanya dipisahkan lima minit untuk merampas kedudukan keempat liga namun ia tidak kesampaian apabila Willock menjaringkan gol penyamaan di St James' Park.

Joelinton meletakkan Newcastle di depan namun Harry Kane meledak dua gol dalam tempoh empat minit untuk Spurs mendahului selepas berakhir separuh masa pertama.

Aksi cemerlang Kane itu masih belum mencukupi untuk membantu Tottenham melakar kemenangan dan kelab itu kini menduduki tangga keenam liga, dua mata di belakang Chelsea yang menduduki tempat keempat ketika berbaki lapan perlawanan lagi.

Kegagalan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan menerusi kedudukan empat terbaik liga pasti memberi tamparan hebat kepada Tottenham untuk memujuk Kane kekal bersama kelab itu.

Jaringan Willock cukup berharga untuk Necastle yang menduduki kelompok empat tercorot bagi mengelak tersingkir daripada saingan Liga Perdana.

Skuad bimbingan Steve Bruce melalui tujuh perlawanan tanpa dapat melakar kemenangan dan hanya berkelebihan tiga mata berbanding pasukan ketiga tercorot, Fulham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 11:35 PM