JURULATIH England Newcastle United, Steve Bruce . FOTO AFP
JURULATIH England Newcastle United, Steve Bruce . FOTO AFP
Reuters

PENGENDALI Newcastle United Steve Bruce menjadikan pembelian penyerang satu keutamaan pada jendela perpindahan Januari ketika pasukannya menerima padah kerana gagal menyempurnakan peluang apabila seri 1-1 dengan Rochdale pada pusingan ketiga Piala FA.

Newcastle mendahului menerusi jaringan Miguel Almiron separuh masa pertama namun gagal menamatkan cabaran lawan mereka dan pemain gantian Aaron Wilbraham meledak gol penyamaan saat akhir bagi membawa kelab divisyen tiga Rochdale ke perlawanan ulangan di St James' Park.

Apabila ditanya sama ada kelab mahu menangani isu kekurangan gol pada jendela perpindahan, Bruce berkata: “Ya. Kami berdepan beberapa detik mengecewakan dan kami akan cuba mengatasinya.

“Ia amat sukar apatah lagi di depan gawang lawan, untuk mendapatkan sesuatu yang membuatkan anda lebih baik. Saya tidak akan hanya membawa masuk pemain untuk itu tetapi kita akan lihat perkembangannya dalam tempoh dua tiga minggu lagi.”

Ia satu lagi perlawanan yang sukar buat pemain termahal Newcastel Joelinton yang menjaringkan satu gol dalam 22 perlawanan sejak tiba dari Hoffenheim.

“Dia (Joelinton) berdepan detik yang sukar tetapi dia perlu teruskan,” kata Bruce.

“Almiron, sehingga dua minggu lalu tidak menjaringkan gol tetapi dia kini menjaringkan dua gol dalam selang masa yang dekat.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 11:10 AM