HAIRUL ketika sesi latihan Skuad Sepak Takraw Negara, di Gymnasium 2 Bukit Jalil.
HAIRUL ketika sesi latihan Skuad Sepak Takraw Negara, di Gymnasium 2 Bukit Jalil.
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Sejauh mana kemampuan tekong negara bakal teruji apabila skuad negara dijadual menyertai dua kejohanan di Thailand pada bulan depan.

Skuad negara kendalian Abdul Talib Ahmad dijadual menyertai Mayor Cup di Hatyai pada pertengahan bulan disusuli Piala Raja Thailand di Bangkok dari 23 Ogos hingga 2 September.

Kejohanan di Hatyai akan menyaksikan skuad negara bakal mencabar pasukan berstatus kelab di Thailand sebelum mengharungi cabaran lebih getir di Bangkok.

Piala Raja Thailand kebiasaannya disertai semua negara utama sepak takraw seperti Vietnam, Korea Selatan, Indonesia selain tuan rumah.

“Ia kejohanan yang penting kepada kita bagi menguji skuad negara. Bermula dengan kejohanan di Hatyai diikuti Piala Raja Thailand.

“Kita akan melihat dan menilai prestasi pemain. Kita mempunyai enam tekong yang perlu dilihat nanti,” jelasnya.

Selepas sekian lama dibayangi kehebatan Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, baki enam tekong dalam skuad negara berpeluang membuktikan kemampuan kepada Abdul Talib di Thailand kelak.

Syahir dan Zulkifli yang dilabel dua tekong terbaik negara digugurkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) daripada skuad kebangsaan penghujung bulan lalu atas alasan disiplin, namun mereka tampil menafikannya.

Ditanya jika program khas untuk baki tekong dalam skuad negara, Abdul Talib menjelaskan ia berjalan seperti biasa.

“Sebenarnya kita tidak boleh terlampau mendesak atau menggandakan latihan kerana aspek kecederaan perlu diambil kira. Saya risau kan kecederaan saat akhir yang boleh merugikan pasukan.

“Pemilihan ke Sukan SEA berdasarkan prestasi semasa mereka,” jelasnya yang membimbing skuad negara meraih emas di Sukan SEA 2015 dan 2017 selain Sukan Asia 2018.

PSM menetapkan sasaran mempertahankan sebutir emas dalam acara regu seperti yang dimenangi pada edisi 2015 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 8:05 AM