Rommi anggap ketiadaan Syahir dan Zulkifli beri impak besar. FOTO fail NSTP
Rommi anggap ketiadaan Syahir dan Zulkifli beri impak besar. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain


SASARAN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memastikan emas ketiga berturut-turut di Sukan SEA 2019 mungkin sekadar angan-angan pengguguran dua tekong utama.

Bekas pemain negara, Rommi Suhendra Norsal menjelaskan ketiadaan Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak bakal memberi impak yang besar kepada usaha merealisasikan sasaran itu.

"Saya rasa sukar, mungkin pencapaian lebih buruk kerana kehadiran tekong nombor satu dan dua negara itu amat penting. Mereka sudah membuktikan kemampuan dan kualiti yang dimiliki.

"Lawan seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan negara lain pasti akan bersorak apabila mengetahui berita pengguguran ini," kata bekas tekong negara itu.

PSM pada Khamis lalu menggugurkan Syahir dan Zulkifli dari skuad negara dipercayai atas alasan disiplin sekali gus mencetuskan persoalan kemampuan anak buah Abdul Talib Ahmad mempertahankan emas di Filipina seperti ditetapkan badan induk berkenaan.

"Saya fikir ini boleh dilihat sebagai kegagalan PSM dalam aspek pengurusan. Isu disiplin adalah perkara yang perlu ditangani dengan lebih bijak.

"Ia tidak membabitkan isu dadah, minuman keras atau sebagainya yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan yang besar," tambahnya.

Menerusi kudrat Syahir yang bergandingan bersama-sama empat pemain yang lain, Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun untuk meraih emas acara regu di Sukan SEA selepas kali terakhir pada 2005.

Rentak cemerlang diteruskan di Sukan SEA 2017 apabila Syahir muncul antara penggerak untuk mempertahankan emas di Kuala Lumpur.

Ia diikuti gandingan Syahir dan Zulkifli serta tiga pemain lain yang memastikan kemarau 24 tahun emas di Sukan Asia terlerai di Palembang apabila menumbangkan Indonesia di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 4:35 PM