PANDELELA (kiri) dan Mun Yee menenpah tiket ke  Olimpik Tokyo. FOTO/NSTP
PANDELELA (kiri) dan Mun Yee menenpah tiket ke Olimpik Tokyo. FOTO/NSTP
Aida Adilah Mat


GANDINGAN penerjun negara Pandelela Riong bersama Leong Mun Yee menempah tiket ke temasya Olimpik Tokyo apabila meraih pingat perak dalam acara 10 meter terjun seirama di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan.

Kejohanan Terjun Dunia antara kejohanan terawal yang menawarkan tempat ke Olimpik yang mana tiga pasangan yang menduduki kedudukan teratas akan layak ke temasya terbesar itu.

Pingat emas dalam acara itu dimenangi pasangan China, Lu Wei-Zhang Jiaqi selepas mengumpul 345.24 mata manakala gangsa diraih gandingan Amerika Syarikat Samantha Bromberg-Katrina Young, 304.86 mata. Bagi Pandelela ia satu kejayaan yang cukup menggembirakan selepas kali terakhir bergandingan bersama Mun Yee 10 tahun lalu.

"Sepuluh tahun lalu kami bersama dan berjaya meraih gangsa dan kali ini kami bergandingan sekali lagi dengan kejayaan lebih bermakna. Layak ke Olimpik dengan keputusan yang lebih baik iaitu meraih perak.

"Terima kasih Mun Yee kerana memberi terjunan terbaik dan percaya kepada gandingan ini. Terima kasih juga kepada semua yang memberi sokongan dan mendoakan kejayaan kami hari ini, " katanya.

Keputusan itu menyaksikan peningkatan dalam pencapaian Pandelela dan Mun Yee selepas mereka meraih pingat gangsa dalam dua edisi sebelum ini -- 2009 di Rome dan 2013 di Barcelona

Terdahulu dua pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy Abdullah dan Nur Shazrin Mohd Latif selain pemanah Khairul Anuar Mohamad sudah layak ke Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 10:46 PM