Pandelela berada di tempat kesembilan pada saingan di Gwangju. FOTO AFP
Pandelela berada di tempat kesembilan pada saingan di Gwangju. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


PENERJUN negara, Pandelela Rinong menempah tiket kedua ke temasya Olimpik apabila menduduki tempat kesembilan acara 10 meter platform individu dalam aksi separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan.

Sebanyak 12 peserta terbaik yang beraksi di peringkat separuh akhir dalam acara itu akan layak ke pusingan akhir seterusnya melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo.

Pandelela mengumpul 312.70 mata selepas lima terjunan untuk menduduki tempat kesembilan dari 18 peserta, semalam.

Acara dikuasai atlet China, Chen Yuxi dan Lu Wei masing-masing mengumpul 407.95 dan 370.85 mata manakala Caeli McKay dari Kanada ketiga 356.70 mata.

Terdahulu, Pandelela yang meraih gangsa dalam acara yang sama di temasya Olimpik London 2012, sudahpun layak dalam acara 10m platform terjun seirama bergandingan bersama Leong Mun Yee.

Gandingan itu menghadiahkan pingat perak pertama di Kejohanan Dunia kali ini.

Atlet berusia 26 tahun dari Sarawak itu dijadualkan turun beraksi pada pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung jam 7.45 malam waktu Malaysia, hari ini.

Turut beraksi adalah Ooi Tze Liang bersama Chew Yiwei dalam acara 3m papan anjal individu.

Bagi acara individu 12 peserta terbaik setiap acara akan layak secara automatik manakala dalam acara seirama hanya tiga terbaik akan mendapat tiket ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 4:57 PM