AHMAD Shapawi.
AHMAD Shapawi.
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Dua tekong utama, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak sudah tawar hati dan enggan lagi mewakili negara sekiranya pengurusan skuad negara kekal di bawah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Perkembangan berkenaan disahkan Syahir yang sudah meraih dua emas Sukan SEA pada 2015 dan 2017 serta emas Sukan Asia tahun lalu.

“Betul,” jelas tekong berusia 23 tahun negara berkenaan mengesahkan apabila ditanya mengenainya.

Bagaimanapun kedua-duanya bersedia mempertimbangkan untuk kembali sekiranya pengurusan skuad negara diambil alih MSN.

Kedua-duanya digugurkan PSM dengan alasan disiplin, namun mereka tampil menafikan dakwaan badan induk berkenaan.

Mereka sebaliknya mendakwa skim elaun PSM yang tidak telus dan adil serta sewenang-wenangnya memotong elaun mencetuskan rasa tidak puas hati.

Syahir bagaimanapun menjelaskan perancangan bertemu Majlis Sukan Negara (MSN) masih diteruskan bagi menceritakan versi mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bersedia mengadakan pertemuan dengan dua tekong berkenaan bagi membincangkan isu pengguguran itu.

“Saya sebenarnya sudah mendengar penjelasan daripada Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail tempoh hari pada mesyuarat penilaian atlet dalam Program Podium mengenai pengguguran mereka, namun kita akan bertemu pemain bagi mendengar versi mereka.

“Sekiranya ada perkara yang perlu diselaraskan antara pemain dan pengurusan pasukan, kita akan panggil mesyuarat bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 8:01 AM