Aksi pemain wanita Kedah (kiri) menentang Selangor di Stadium MMU, Cyberjaya hari ini. FOTO Ihsan FAM
Aksi pemain wanita Kedah (kiri) menentang Selangor di Stadium MMU, Cyberjaya hari ini. FOTO Ihsan FAM
BERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) merancang untuk menjadikan kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) sebagai liga seperti Liga Malaysia (Liga M).

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata PTSR adalah platform terbaik untuk pemain bola sepak wanita kebangsaan beraksi dalam perlawanan yang kompetitif dan ia perlu ditambah baik dengan format Liga ‘home and away’ pada masa depan.

“Saya juga menggesa jawatankuasa bola sepak wanita untuk terus bekerja keras mencari bakat baru dari peringkat akar umbi dan segenap lapisan umur dalam memastikan kelangsungan pemain berbakat.

Kami di FAM sentiasa menyokong bola sepak wanita dan saya juga berterima kasih pada penyokong yang hadir pada hari ini. Semoga usaha kita ini akan terus memartabatkan bola sepak wanita negara ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam entri yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi FAM.

Hamidin berada di Stadium MMU, Cyberjaya bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir PTSR membabitkan pertembungan juara bertahan Kedah menentang Selangor dimana perlawanan berpihak kepada Kedah yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Selangor. Dalam satu lagi separuh akhir membabitkan Melaka dan PDRM di tempat sama petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 5:38 PM