Zaiton tangguhkan kongres. FOTO ASWADI ALIAS
Zaiton tangguhkan kongres. FOTO ASWADI ALIAS
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Kemelut Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengenai pencalonan bagi merebut jawatan menyebabkan Kongres ke-31 persatuan itu yang sepatutnya berlangsung Ahad ini terpaksa ditangguhkan.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman yang menjelaskan penangguhan kongres itu wajar dilakukan untuk memberi ruang kepada proses siasatan lanjut dan pendengaran dilakukan.

“Pejabat ini mengambil maklum dan memandang serius mengenai kemelut yang berlaku dalam proses pencalonan bagi Kongres ke-31 KLFA yang dijangka diadakan pada 18 November ini.

“Kemelut ini menjadi perhatian umum menerusi media termasuk media sosial dan menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli gabungan serta peminat bola sepak Kuala Lumpur.

“Pejabat ini turut menerima surat bantahan ahli gabungan KLFA yang tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan pelaksanaan kongres yang disifatkan menafikan hak ahli,” kata Zaiton dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut situasi itu, Zaiton mengesahkan pihaknya sudah memanggil wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membincangkan kemelut itu kelmarin.

“Kami akan memanggil Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa dan pengadu untuk mendapatkan penjelasan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Presiden KLFA mendesak kongres itu ditangguhkan buat seketika memandangkan ia mengandungi banyak unsur meragukan.

Malah, Rashid juga mahu membawa kes itu kepada Jawatankuasa Integriti FAM selepas mendakwa memiliki bukti kukuh unsur paksaan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KLFA bagi penggal 2018-2022.

Beliau juga terkejut apabila pencalonan yang diterimanya hanya 12 berbanding 16 pada peringkat awal dan bukti kukuh adalah berdasarkan salinan borang pencalonan semua ahli gabungan yang menyokongnya.

Jawatan presiden tidak dipertandingkan selepas penyandangnya, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan mendapat pencalonan mencukupi sementara pencabarnya Rashid gagal mendapatkan jumlah pencalonan diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 4:34 PM