KEMENANGAN 7-1 dan 5-1 ke atas Timor Leste banyak membantu peningkatan ranking Harimau Malaya. — FOTO Aziah Azmee
KEMENANGAN 7-1 dan 5-1 ke atas Timor Leste banyak membantu peningkatan ranking Harimau Malaya. — FOTO Aziah Azmee
Firdaus Hashim


KEMENANGAN 2-0 ke atas Nepal pada aksi persahabatan 1 Jun lalu selain jaringan besar 12-2 secara agregat menumpaskan Timor Leste pada aksi playoff Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membantu melonjakkan ranking Harimau Malaya naik sembilan anak tangga.

Ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini menyaksikan Malaysia meningkat ke tangga ke-159 berbanding 168 sebelum ini.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang mengumpul 1,009 mata keseluruhan – pertambahan 28 mata berbanding sebelum ini - turut berada di kedudukan ke-32 dalam kalangan negara Asia.

Malah peningkatan itu juga menyaksikan pasukan kebangsaan berjaya memintas dua pasukan serantau Indonesia dan Singapura yang sebelum ini menghimpun mata lebih banyak.

Bagaimanapun, empat pasukan lain Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam berada pada kedudukan lebih baik dengan paling mencuri tumpuan sudah tentunya Vietnam yang juga juara Piala AFF di kelompok tangga 100 teratas apabila menghuni tangga ke-96 dunia.

Petanda positif Harimau Malaya itu sekali gus memberi gambaran undian pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar bulan depan bakal meletakkan Malaysia dalam balang keempat daripada lima balang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 7:04 PM