PEMAIN Harimau Malaya sugul selepas tewas 0-2 kepada Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, 26 Mac lalu. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PEMAIN Harimau Malaya sugul selepas tewas 0-2 kepada Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, 26 Mac lalu. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kedudukan skuad Harimau Malaya terus jatuh 'tersembam' apabila kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menunjukkan Malaysia kini berada di tangga ke-138 dunia.

Skuad kendalian Kim Pan-gon jatuh enam anak tangga daripada ke-132 dunia sebelum ini, sekali gus menyamai kedudukan pada April tahun lalu.

Situasi terbabit menyaksikan pasukan kebangsaan merekodkan penurunan ranking kali ketiga dalam tempoh empat bulan seterusnya menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Pan-gon kelak.

Ranking skuad Harimau Malaya jatuh bermula pada penampilan di Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu selepas merekodkan kekalahan kepada Jordan 0-4 sebelum tunduk kepada Bahrain 0-1, namun seri 3-3 berdepan Korea Selatan.

Walaupun Malaysia bermula langkah kanan pada awal saingan kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan mencatatkan kemenangan mengatasi Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0), namun rentak terbabit gagal diulangi pada dua pertemuan menentang Oman, baru-baru ini.

Dua kali kekalahan 0-2 kepada Oman itu menjejaskan kedudukan skuad Harimau Malaya sehingga jatuh enam anak tangga.

Nasib berbeza dilalui skuad jiran, Indonesia yang menampilkan aksi memukau dengan menumpaskan Vietnam dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan memperbaiki kedudukan pasukan mereka.

Pasukan Sang Garuda kini sudah memintas Malaysia apabila berada di kedudukan ke-134 dunia iaitu menyaksikan peningkatan lapan anak tangga.

Situasi terbabit turut menyaksikan Sang Garuda dinobatkan sebagai pasukan yang mempamerkan peningkatan luar biasa dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, wakil Asean lain seperti Vietnam pula tidak lagi berada di kedudukan 'top' 100 apabila mengalami penurunan agak ketara hingga berada di tempat 115 dunia, manakala Thailand pula tidak berubah iaitu 101 dunia, Filipina (141 dunia), Singapura (155 dunia), Myanmar (163) dan Kemboja (179 dunia).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 4:57 PM