SEBAHAGIAN pemain kebangsaan meraikan kemenangan selepas skuad Harimau Malaya mengalahkan pasukan Bangladesh dengan keputusan jaringan gol 4-1 pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu. FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN pemain kebangsaan meraikan kemenangan selepas skuad Harimau Malaya mengalahkan pasukan Bangladesh dengan keputusan jaringan gol 4-1 pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melihat aksi menentang pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi sebagai peluang memperbaiki kedudukan balang menjelang undian Piala Asia hujung tahun ini.

Skuad Harimau Malaya yang layak secara merit selepas muncul antara lima pasukan naib juara terbaik di pusingan ketiga Piala Asia pada Jun lalu berada pada balang terakhir daripada empat balang.

Kedudukan balang undian ditentukan menerusi kedudukan ranking Fifa, di mana Malaysia ketika ini menghuni ranking ke-147 dunia diletakkan dalam balang empat bersama-sama India (104), Tajikistan (108), Thailand (111), Hong Kong (145) dan Indonesia (155).

Berdasarkan kedudukan itu, skuad negara bakal menghadapi ujian getir di mana berisiko diletakkan dengan pasukan terkuat Asia yang mengisi tiga balang teratas.

Begitupun, nasib skuad kendalian Kim Pan-gon boleh 'diselamatkan' seandainya mampu memperbaiki ranking sebelum majlis undian itu, dengan wajib menewaskan pasukan di ranking lebih tinggi dalam aksi persahabatan September ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, peluang beraksi di kejohanan jemputan di Bangkok, Thailand bulan depan adalah kesempatan terbaik buat pasukan meraih keputusan positif sekali gus memanjat tangga ranking.

Untuk rekod, skuad negara di jemput oleh Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) untuk bertanding dalam saingan persahabatan empat penjuru dalam kejohanan yang dinamakan sebagai King's Cup.

Difahamkan selain Malaysia, FAT turut menjemput dua pasukan antarabangsa iaitu Bolivia dari Amerika Latin dan satu lagi pasukan dari Asia.

Kata Saifuddin, FAM mengganggap penyertaan skuad kendalian Pan-gon sebagai platform terbaik mempersiapkan pasukan selain cuba mencipta kejutan untuk meraih mata ranking.

"Kita masih menunggu secara rasmi siapakah lawan skuad negara di Thailand nanti. Buat masa sekarang, kita tidak tahu lagi pasukan-pasukan yang akan bertanding di sana.

"Tetapi apa yang dimaklumkan oleh media di negara itu, skuad negara akan beraksi dalam King's Cup dan kita menyambut baik dan gembira dapat memenuhi jemputan itu.

"Ini sebenarnya adalah peluang yang baik untuk pasukan negara, disamping kita persiapkan pasukan, kita juga boleh mengutip mata ranking di mana kita tahu undian Piala Asia nanti nampak sukar.

"Kita harap dapat baiki kedudukan dalam balang, sekali gus dapat duduk dalam balang lebih tinggi pada undian itu nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kem negara dijangka kembali menjalani latihan pada pertengahan bulan depan sebelum ke Thailand untuk menyertai King's Cup dari 22-25 September ini.

Malaysia pernah muncul juara King's Cup pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 4:57 PM