PEMAIN negara akan beraksi di kelayakan Piala Asia dan Piala AFF pada Disember depan.
PEMAIN negara akan beraksi di kelayakan Piala Asia dan Piala AFF pada Disember depan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya kini dalam proses perbincangan bagi memuktamadkan lawan yang bakal menguji pasukan negara khususnya pada jendela aksi antarabangsa September ini.

Antara negara yang disebut-sebut bakal menguji anak buah Tan Cheng Hoe adalah skuad kebangsaan Palestin yang kini menghuni tangga ke-104 dunia sekali gus peluang terbaik buat pasukan negara memungut mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Malaysia kini berada di posisi 153 dunia dan sekiranya berjaya mencatat keputusan positif, kedudukan skuad negara dalam ranking itu dijangka meningkat serta mampu meletakkan pasukan di kedudukan balang lebih baik menjelang undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada November ini.

"Kami daripada pengurusan pasukan dan juga sekretariat FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) memang ada mengaturkan beberapa aksi (persahabatan kelas A) pada September ini.

"Sebagaimana harapan peminat yang mahu kami meningkat jadi perlawanan itu penting untuk pasukan terus bersedia dan ada beberapa pasukan sedang diusahakan termasuk Palestin.

"Tapi kami belum memuktamadkan lagi, cuma memang benar Palestin antara pasukan yang kami senaraikan. Pengurusan akan memuktamadkan dalam masa terdekat ini," kata Cheng Hoe kepada Arena Metro.

Jelasnya, beliau mahu menggunakan tempoh jendela antarabangsa itu dengan sebaik-baiknya bagi mempersiapkan pasukan menjelang dua saingan utama iaitu kelayakan Piala Asia dan Piala AFF pada Disember ini.

"Daripada pengalaman lalu (saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu), ia bagi kita satu pengajaran yang bermakna. Selepas kita tak main bersama selama 18 bulan, agak sukar untuk kita bermain...jadi kita kena atur persediaan rapi dan harap momentum itu kekal hingga tahun depan," katanya.

Pada kejohanan itu, skuad Harimau Malaya sekadar menamatkan saingan Kumpulan G di tangga ketiga di belakang tuan rumah dan Vietnam untuk berputih mata gagal layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Namun, skuad kendalian Cheng Hoe masih berpeluang merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan syarat wajib muncul juara kumpulan di peringkat ketiga yang dijadual berlangsung pada Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 9:31 PM