DAVID Roley (kiri) dan Edgar bakal bantu rakan sepasukan terutama jentera tengah Kedah.
DAVID Roley (kiri) dan Edgar bakal bantu rakan sepasukan terutama jentera tengah Kedah.
Izzali Ismail


KEMASUKAN dua pemain baharu dalam tempoh jendela perpindahan baru-baru ini diyakini mampu membantu Kedah menguatkan jentera tengah dalam aksi Liga Super serta saingan Piala FA yang akan ditempuhi skuad Lang Merah selepas ini.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris, beliau yakin dengan perubahan yang akan dilalui Kedah selepas selepas kemasukan pemain import baharu Edgar Bernhardt dan seorang lagi pemain tempatan David Rowley ke dalam pasukan baru-baru ini.

“Edgar dan juga David Rowley bakal membantu rakan sepasukan lain terutama bahagian tengah untuk melancarkan lagi serangan dan juga penguasaan bola.

“Reputasi Edgar yang pernah menggalas tugas selaku ketua pasukan Kyrgyzstan sebelum ini bakal membantu untuk menguatkan jentera tengah pasukan Kedah.

“Saya yakin dengan perancangan dan peraturan yang dilakukan oleh barisan pengurusan dan kejurulatihan ini, kita mampu beri saingan yang diharapkan dan seterusnya berazam layak ke final Piala FA musim ini dan menjulang kejuaraan adalah bonus untuk Kedah sekiranya kita memenanginya di pentas akhir nanti.”

Asmirul juga mengharapkan kemampuan pemain akan berada pada tahap yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan aksi kekalahan 0-2 ketika perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) bulan lalu.

“Ini kerana kita dapati ada jurang dari segi teknikalnya pada perlawanan berkenaan, namun kita boleh terima atas sebab diatas kertas kita tidak dapat menurunkan kapten Baddrol Bakhtiar dan seorang lagi import Anmar Almubaraki yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan.”

“Selain keserasian antara pemain yang perlu diteruskan, saya juga mengharapkan dengan latihan yang disediakan oleh jurulatih kecergasan Azmi Ibrahim dan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, mampu memberi kesan yang diharapkan dalam mengharungi tempoh lima perlawanan hingga hujung bulan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:08 PM