Camilo akan bersama Terengganu pada Syawal ketiga. FOTO TFC
Camilo akan bersama Terengganu pada Syawal ketiga. FOTO TFC
Malik Muhamad


PEMAIN import baru Terengganu FC (TFC), Luis Gustavo Camilo dijangka akan menjalani latihan pertamanya bersama pasukan itu bermula 7 Jun ini.

Penolong jurulatih, Mohamad Nik berkata, kehadiran pemain itu dinantikan pasukan bagi memastikan pertahanan kelahiran Brazil itu dapat menyesuaikan diri lebih awal bersama rakan sepasukannya.

"Pemain itu (Camilo) akan bersama pasukan menjalani latihan pada hari raya ketiga dan kehadirannya pasti dinantikan pasukan dan juga peminat setia," ujar Mohamad.

Camilo yang belum pernah lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal beraksi di posisi pertahanan tengah pasukan menggantikan tempat pemain Montenegro, Igor Zonjic yang digugurkan pada jendela kedua perpindahan pemain yang berakhir Khamis lalu.

Kehadiran pemain tinggi lampai yang digelar 'The Tanker' itu bakal memperkasakan benteng pasukan itu selepas agak rapuh terutama ketika mengalami kekalahan terbesar musim ini 3-5 kepada pasukan Petaling Jaya City (PJ City) selain tumpas 0-4 kepada Pahang pada suku akhir kedua Piala FA.

Dalam perkembangan lain, Mohamad menyatakan hanya empat hari cuti diberikan kepada pasukan pemain TFC sempena sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan umat Islam pada Rabu ini.

Beliau berkata, cuti berkenaan akan bermula pada hari ini sehingga 6 Jun ini.

"Latihan disambung semula pada Jumaat iaitu pada hari ketiga sambutan Aidilfitri," ujar Mohamad.

Skuad Penyu kini menghuni tangga keenam Liga Super mengutip 20 mata hasil 15 perlawanan mengidam sekurang-kurangnya tiga tempat teratas bagi memperbaiki catatan musim lalu pada kedudukan tangga kelima liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 3:49 PM