PEMAIN Terengganu, Bruno Junichi Suzuki Castanheira (kiri) membuat rembatan ke gawang sambil diasak pemain Pahang, Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah pada aksi di Stadium Darul Makmur. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL
PEMAIN Terengganu, Bruno Junichi Suzuki Castanheira (kiri) membuat rembatan ke gawang sambil diasak pemain Pahang, Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah pada aksi di Stadium Darul Makmur. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL
Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) yang berjaya merakam kemenangan ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur malam kelmarin terpaksa membayar harga tinggi apabila lima pemainnya dilayangkan kad kuning.

Bagaimanapun jurulatih skuad itu tidak mahu menyalahkan pemainnya 100 peratus sebaliknya memuji semangat kental diperagakan anak buahnya hingga berjaya menang besar.

Penolong jurulatih Mohamad Nik berkata, biarpun tidak begitu gembira kerana ramai pemainnya menerima kad kuning, tetapi kejayaan mengutip tiga mata lebih penting dan begitu membanggakan pasukan.

“Bukan mudah buat pemain saya beraksi di laman lawan apatah lagi pada pusingan pertama di Kuala Terengganu kami tewas 1-3, tapi pemain kami sudah membuktikan mereka juga mampu menundukkan skuad Tok Gajah di laman mereka walaupun menang tipis.

“Mengenai lima kad kuning itu kami tidak fikirkan sangat biarpun akan memberi impak kepada pemain selepas ini kerana yang penting kami menang sekali gus menebus kekalahan di laman sendiri pada 1 Mei lalu,” ujar Mohamad.

Pada perlawanan yang dimenangi TFC 1-0 hasil jaringan Faiz Nasir, lima pemain skuad Penyu dilayangkan kad kuning iaitu Kamal Azizi Zabri, Lee Tuck, J Partiban, Adib Aizuddin Latif dan Nasrullah Hanif Johan.

“Walaupun berjaya menamatkan rekod kekalahan dua kali berturut-turut namun secara keseluruhannya masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan bagi memastikan TFC terus menjadi pencabar terkuat.

“Perlawanan pada 22 Mei ini bertemu Perak di laman sendiri diharap pemain mampu meneruskan rentak kemenangan meskipun beraksi dalam bulan puasa,” kata Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 11:32 AM