Agensi

SEORANG penyokong Derby yang mabuk bertindak menampar muka steward wanita selepas tidak dibenarkan masuk ke Stadium Liberty.

Insiden itu dirakam oleh kamera ketika perlawanan terakhir Swansea di tempat sendiri menentang skuad kendalian Frank Lampard.

Penyokong Derby dikenali sebagai Edward Dylan Price dari Aberporth, tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium disebabkan dirinya berada dibawah pengaruh alkohol, mahkamah diberitahu.

Dia memulakan perbalahan dengan beberapa steward sebelum tiba-tiba menampar Iona James di bahagian muka dengan tangan kanan.

Price mengaku bersalah atas tuduhan melakukan serangan dengan memukul di Mahkamah Majistret Swansea.

Penyokong The Rams terbabit dikenakan hukuman membuat kerja sosial selama 12 bulan dengan perlu menjalani rawatan alkohol selama sembilan bulan.

Dia juga didenda sebanyak £50 (RM265) dan diarah membayar pampasan sebanyak £50 (RM265) kepada mangsa.

Malah, dia turut dikenakan pengharaman bolasepak menyebabkannya tidak dapat menonton perlawanan di mana-mana stadium di England atau Wales selama tiga tahun.

Pendakwaraya Julie Sullivan memberitahu mahkamah: "Dia meneguk minuman keras dari jam 2 petang dengan insiden berlaku sekitar jam 8 malam.

"Dia datang ke Swansea dengan menumpang kenderaan orang lain, pergi ke bar berdekatan Stadium Liberty dan begitu teruja kerana Derby akan menentang Swansea.

"Selepas mendapatkan tiket, dia kembali ke pub dan meminum lebih banyak alkohol.

"Dia memberitahu polis dalam temu ramah, dia memang seorang yang bodoh apabila mabuk dan hampir ketagihan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 5:12 PM
Price menampar muka steward wanita di luar stadium. FOTO Crown Prosecution Service
Price menampar muka steward wanita di luar stadium. FOTO Crown Prosecution Service