PEMAIN Arsenal, Joe Campbell (kiri) hadiah gol ketiga buat pasukan ketika berdepan Swansea.
PEMAIN Arsenal, Joe Campbell (kiri) hadiah gol ketiga buat pasukan ketika berdepan Swansea.
WENGER
WENGER
AFP

Swansea, Wales: Arsene Wenger memilih untuk tidak bermegah dengan jurang 14 mata di antara Arsenal dengan seteru utama Chelsea selepas pasukannya menang 3-0 ke atas Swansea.

Wenger mempunyai hubungan yang bergelora dengan pengurus Chelsea Jose Mourinho dan pengurus Gunners memperoleh peluang keemasan untuk menyindir musuh lamanya selepas menang besar di Stadium Liberty.

Chelsea tewas 1-3 kepada Liverpool dalam keputusan yang menghangatkan spekulasi bahawa Mourinho yang menyebabkan pasukannya menjunam ke tangga ke-15 bakal dipecat, namun Wenger enggan menyindir pesaingnya.

“Saya tidak mahu bercakap banyak mengenainya. Kami perlu fokus terhadap perlawanan dan cuba mengekalkan keseimbangan. Kami perlu tenang, merendah diri, sentiasa bersemangat dan yakin,” kata Wenger.

“Saya puas hati dengan keputusan di sini. Perlawanan menentang Swansea sentiasa sukar. Tahun lalu mereka merampas enam mata daripada kami jadi kami datang ke sini dengan lebih berwaspada.

“Sekali lagi mereka mempamerkan kualiti sebenar. Mereka pasukan yang bagus dan menyusahkan kami pada babak pertama.

“Namun, pada babak kedua, kami bermain dengan tempo lebih hebat dengan hantaran jauh lebih baik. Saya berasakan sebaik menjaringkan gol pertama, kami mula mendominasi perlawanan.

“Saya merehatkan pemain pada Rabu (sewaktu Arsenal tewas Piala Liga di tangan Sheffield Wednesday), untuk memberi mereka lebih ruang dan kami memerlukan masa untuk membaca rentak perlawanan.

“Bagaimanapun, kami berjaya mempertahankan gol daripada dibolosi dan tidak mengambil terlalu banyak risiko untuk menyerang. Sebaik kami mendahului perlawanan, rentak perlawanan mula berubah.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:07 AM