BIBI anggap sudah tiba masa KAFA mendapat presiden baharu.
BIBI anggap sudah tiba masa KAFA mendapat presiden baharu.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Kemelut bola sepak Kelantan hampir ke kemuncaknya apabila tempoh empat hari diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan kepada mana-mana individu yang berminat untuk mengambil alih badan induk bola sepak negeri itu.

Jika dalam tempoh berkenaan tiada individu tampil berbuat demikian, beliau nekad mahu melepaskan jawatan tanpa menunggu mesyuarat agung tahunan yang dijangka diadakan selepas Aidilfitri nanti.

Perkara itu disahkan Bibi Ramjani malah memberitahu beliau sudah menghentikan segala bentuk bantuan kewangan kepada pasukan selepas melihat banyak pihak termasuk Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) mendesaknya meletakkan jawatan.

Beliau berkata, keputusannya mahu meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat ini adalah kerana mahu memberi laluan kepada presiden baharu menguruskan beberapa perkara termasuk pembayaran gaji kepada pemain.

“Saya tidak akan mengeluarkan wang simpanan sendiri lagi untuk membayar kepada pasukan atau perkara lain kerana sudah cukup apa yang dikorbankan sebelum ini dan tiba masa presiden baharu mengambil alih semuanya.

“Ambil alih jawatan ini tidak perlu menunggu selepas Aidilfitri kerana saya akan berbuat demikian dalam tempoh seminggu. Sekarang ini, saya mahu mana-mana individu yang sebelum ini menyatakan hasrat berbuat demikian supaya segera tampil kepada KAFA bagi memudahkan proses serahan kuasa,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa ahli gabungan PBJ mahu mengadakan mesyuarat tergempar untuk undi tidak percaya kepada Bibi Ramjani.

Malah, penyokong skuad The Red Warrior turut meminta Bibi Ramjani meletakkan jawatan, sekali gus bertanggungjawab terhadap segala masalah yang melanda Kelantan.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata, keputusan berkenaan demi memastikan pemain tidak mengalami masalah tunggakan gaji atau sukar mendapatkan bantuan kewangan lain.

“Jika menunggu selepas hari raya nak buat mesyuarat agung pasti yang akan jadi mangsa nanti adalah pemain yang tidak akan menerima gaji... saya tidak akan lagi keluarkan wang sendiri.

“Jika mereka sudah berpakat untuk gulingkan saya, buat apa untuk keluarkan wang sendiri lagi dan lebih baik menunggu presiden baharu menguruskannya atau saya akan letak jawatan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 8:30 AM