Sathianathan ambil pendekatan sediakan elemen diperlukan pemain. FOTO NSTP
Sathianathan ambil pendekatan sediakan elemen diperlukan pemain. FOTO NSTP
BERNAMA

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) yang tetap rancak berlangsung pada bulan Ramadan seharusnya tidak dijadikan alasan kepada pemain untuk gagal memberikan aksi terbaik.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata setiap jurulatih perlu mempersiapkan pasukan lebih awal bagi memastikan barisan pemain bersedia menghadapi perlawanan yang diadakan pukul 10 malam sepanjang bulan puasa.

“Sepatutnya tidak ada alasan untuk pemain beraksi dan saya percaya mereka juga sudah biasa sebab ini bukan kali pertama aksi berlangsung pada bulan puasa. Pasukan akan tetap mengadakan latihan.

Takkan kita hanya berlatih selama sebulan tanpa perlawanan dan apa jadi kepada jadual liga bila sebulan tertangguh.

“Mungkin orang akan kritik saya bila berkata begini kerana saya bukan seorang muslim, tapi saya sudah 29 tahun dalam bidang ini dan cukup memahami situasi pemain ketika di bulan puasa,” katanya.

Menurut ketua jurulatih pasukan Selangor itu, beliau mengambil pendekatan dengan menyediakan segala elemen diperlukan pemainnya yang turun menjalani latihan selain meminda waktu latihan pada lewat malam bagi memberi ruang kepada pemain menunaikan solat Tarawih.

“Apa yang saya lakukan untuk pemain Selangor, saya akan memulakan latihan pukul 11 malam selain menyediakan pemakanan seperti susu dan kurma selepas berlatih kepada pemain.

“Saya tidak boleh memulakan latihan lebih awal memandangkan ada pemain mahu solat tarawih jadi saya faham.

Apa yang penting pemain perlu berdisiplin menjaga pemakanan dan tidur yang cukup,” tambah beliau.

Sebagai rekod, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan meneruskan perlawanan Liga Super dan Liga Premier selain aksi suku akhir kedua Piala FA sepanjang bulan puasa ini.

Dalam pada itu, Sathianathan menyifatkan keputusan MFL itu menguntungkan skuad kebangsaan yang bakal beraksi pada Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada 7 dan 11 Jun nanti.

“Pada saya perlawanan yang berlangsung pada bulan puasa kali ini juga bakal membantu pemain kebangsaan yang bakal berlatih pada penghujung Ramadan sebelum beraksi pada hari raya.

Jika mereka tidak beraksi pada bulan puasa, sukar untuk mereka mendapatkan momentum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:15 PM