AARON bersama Wooi Yik ketika beraksi Pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
AARON bersama Wooi Yik ketika beraksi Pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
Ferzalfie Fauzi

KALI pertama beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) Aaron Chia-Soh Wooi Yik seakan mampu mengulangi sejarah mara ke perlawanan akhir Seluruh England, namun mereka terlepas peluang keemasan itu dengan tumpas di suku akhir.

Selepas mendapat kemenangan percuma di pusingan kedua di Wuhan, China, Aaron-Wooi Yik terlepas peluang mara ke separuh akhir apabila tumpas kepada pasangan keempat terbaik Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho.

“Kami tidak boleh kata berpuas hati dengan prestasi di BAC kerana mendapat peluang keemasan apabila mendapat kemenangan percuma di pusingan kedua selepas pilihan keempat dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan menarik diri namun di suku akhir kami tumpas,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelas Aaron ia satu perkara yang sangat merugikan apabila mereka tumpas 15-21, 21-16, 18-21 kepada Min Hyuk-Won Ho.

“Mungkin ketika itu kami hilang fokus dan ketika di set penentuan kami ketinggalan jauh. Kami cuba mengejar mereka namun nasib tidak menyebelahi kami.

“Selepas ini kami perlu melupakan kekecewaan berkenaan dan fokus kepada Terbuka New Zealand, iaitu satu kejohanan yang penting untuk mengutip mata ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Aaron-Wooi Yik sekali lagi akan diuji wakil daripada Korea Selatan di pusingan pertama Terbuka New Zealand apabila mereka akan berdepan Kim Jae Hwan-Seo Seung Jae.

Jika berjaya memenangi halangan pertama itu mereka dijangka berdepan satu lagi pasangan ‘K-POP’ Kim Gi Jung-Lee Yong Dae.

“Ia bukan mudah untuk berdepan dengan corak permainan beregu lelaki Korea Selatan dan kami harus lebih bersedia kali ini,” kata Aaron yang menghuni ranking ke-15 dunia bersama Wooi Yik.

Terbuka New Zealand akan bermula lusa dan ia kejohanan pertama untuk semua pemain seluruh dunia mengumpul mata ke Olimpik 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:58 PM