ADLAN menamatkan kayuhan dengan memenangi jersi hitam sebagai pelumba muda terbaik selepas peringkat kedua TdIJ dari Muar ke Yong Peng. — FOTO Aswadi Alias
ADLAN menamatkan kayuhan dengan memenangi jersi hitam sebagai pelumba muda terbaik selepas peringkat kedua TdIJ dari Muar ke Yong Peng. — FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


MISI pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Shaiful Adlan Shukri untuk merampas jersi hitam sudah terlaksana pada peringkat kedua Tour de Iskandar Johor (TdIJ) hari ini dan kini dia menyasarkan untuk menang perlumbaan peringkat terakhir dari Kluang ke Johor Bahru, esok.

Adlan yang mengumpul masa keseluruhan enam jam 20 minit 18 saat, mengakui dia bukan saja mahu mempertahankan jersi hitam namun bersedia untuk cuba menaiki podium esok walaupun sedar ia bukan mudah.

“Saya akan cuba pertahankan jersi ini dan cuba untuk memenangi perlumbaan peringkat terakhir esok,” kata pelumba berusia 21 tahun dari Kuala Terengganu itu.

Adlan yang beraksi pada Tour de Tochigi di Jepun Mac lalu berkata, sentiasa bersemangat untuk beraksi dengan baik kerana ia tahun dulungnya bersama TSC.

“Esok saya akan bantu pasukan memenangi peringkat terakhir. Saya hanya akan melakukan apa yang jurulatih arahkan. Saya juga yakin mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan.

“Bagi saya memang ada persaingan sengit dengan pelumba lain dan agak sukar. Bagaimanapun, saya cuba untuk mempertahankan jersi hitam ini dengan berlawan dengan mereka habis-habisan,” katanya yang menamatkan perlumbaan peringkat kedua hari ini di tempat ke-28.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:45 PM