ADLAN memenangi jersi hitam (Pelumba Muda Terbaik) di Tour De Iskandar Johor 2019. FOTO Aswadi Alias
ADLAN memenangi jersi hitam (Pelumba Muda Terbaik) di Tour De Iskandar Johor 2019. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


PERLUMBAAN sulung Tour de Iskandar Johor (TdIJ) akan dikenang sampai bila-bila buat pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Shaiful Adlan Shukri apabila dia menyarung jersi hitam selaku pelumba muda terbaik keseluruhan.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui kejayaan itu pencapaian paling tinggi dalam kariernya sebagai seorang pelumba basikal.

“Saya memang gembira dengan pencapaian ini dan berasa sangat teruja, saya seperti hilang kata-kata sekarang dan mamanjatkan kesyukuran kepada Allah,” katanya yang juga muncul pelumba terbaik Malaysia pada TdIJ.

Adlan, 21, mengakui pada peringkat terakhir dari Kluang ke Johor Bahru hari ini, dia tidak memandang mudah saingan pelumba muda lain namun dia cuba untuk menamatkan perlumbaan di kelompok depan.

“Perlumbaan hari terakhir ini amat laju ditambah pula dengan hujan lebat. Bagaimanapun, saya sedar akan bahaya yang akan ditempuhi,” katanya yang mengatasi pelumba Jepun dari Team Ukyo, Kosuke Takeyama untuk muncul pelumba muda terbaik keseluruhan.

Dalam pada itu, Adlan juga berharap mampu mewakili negara pada Sukan SEA Filipina hujung tahun ini selepas memperaga persembahan cemerlang di TdIJ.

“Ia matlamat utama saya tahun ini, namun anda perlu melihat kepada pengurusan dari segi pemilihan pelumba ke temasya itu,” katanya yang menjadikan pelumba Britain, Chris Froome sebagai idola.

Adlan menduduki tempat ke-14 pada peringkat pertama dari Kota Iskandar ke Batu Pahat, manakala peringkat kedua (Muar ke Yong Peng) dia meraih tempat ke-28 dan hari ini dia menamatkan perlumbaan di tangga ke-48.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:09 AM