Rajagobal lega skuadnya mengatasi lawan yang sangat kuat. FOTO NSTP/BERNAMA
Rajagobal lega skuadnya mengatasi lawan yang sangat kuat. FOTO NSTP/BERNAMA
Ifwan Tun Tuah


WALAUPUN mencatatkan kemenangan ketika Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa bermain dengan 10 pemain, pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal tidak menganggap kejayaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi, sebagai nasib.

Beliau sebaliknya berkata, semua pemainnya menunjukkan prestasi baik untuk mengekang kemaraan JDT yang mempunyai reputasi cemerlang, lebih-lebih lagi di hadapan ribuan penyokong di laman sendiri.

"Walaupun tahu JDT adalah pasukan yang kuat, kita datang dengan pemikiran yang positif untuk menang. Saya lihat semua pemain menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dan bermain dengan baik.

"Kemenangan ini bukan disebabkan nasib kerana kita dapat lihat beberapa kali kita berjaya menembusi pertahanan lawan dan Kpah Sherman berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol.

"Tidak dinafikan nasib juga penting dalam perlawanan, tapi saya mahu katakan kemenangan ini bukan disebabkan nasib.

Pemain saya bemain dengan baik menentang pasukan yang sangat kuat," katanya selepas perlawanan.

PKNS FC mengejutkan JDT dengan kemenangan 1-0 untuk ke suku akhir Piala FA hasil jaringan Sherman m-49 yang menewaskan penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Mengulas mengenai kad merah dilayangkan kepada pertahanan JDT, Kiko Insa pada m-10 selepas mengasari pemainnya, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali, Rajagobal berkata, tiada perubahan taktikal dilakukan selepas itu.

"Selepas Insa kena kad merah, saya ada fikir untuk melakukan sesuatu namun kita sedar JDT mempunyai pemain yang berkualiti di semua bahagian.

"Tanpa seorang pemain pun mereka masih mampu memberi tekanan kepada kita. Jadi saya arahkan semua pemain supaya kekalkan disiplin dan jangan beri ruang kepada lawan untuk melakukan gerakan kerana kita tahu mereka mempunyai kemahiran individu yang cukup baik," katanya.

Pengurus JDT, Luciano Fugueroa, mengucapkan terima kasih kepada semua pemainnya yang bermain dengan bersungguh-sungguh walaupun tanpa Insa.

"Keadaan sangat sukar kerana kita kehilangan pemain pada awal permainan namun semua pemain tetap cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 2:31 PM