WARTAWAN sukan Harian Metro, Berita Harian dan NSTP  memenangi anugerah laporan Siebel dan berita terbaik kategori media cetak pada  Majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Hotel Hilton.  - FOTO  Mohamad  Shahril  Badri  Saali
WARTAWAN sukan Harian Metro, Berita Harian dan NSTP memenangi anugerah laporan Siebel dan berita terbaik kategori media cetak pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Hotel Hilton. - FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengiktiraf peranan wartawan sukan yang bukan hanya melaporkan mengenai kejayaan tapi turut fokus kepada kebajikan atlet.

Menurutnya, wartawan sukan adalah individu yang sentiasa bersama atlet dan dalam masa sama sentiasa mengambil berat mengenai kualiti sukan tanah air.

“Mereka (wartawan sukan) sentiasa berkorban masa dan tenaga untuk atlet. Kerja belakang tabir mereka adalah satu pengalaman besar dan usaha mereka juga sentiasa menarik syarikat besar untuk membantu industri sukan negara.

“Penggerak utama adalah Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) dan saya juga berksempatan berjumpa dengan SAM sebelum ini untuk membicarakan mengenai kualiti sukan negara dan apa yang boleh kita lakukan,” kata Syed Saddiq di Anugerah SAM 100 Plus 2018 hari ini.

Beliau juga mengakui, wartawan sukan juga bukan hanya mendedahkan mengenai kejayaan atlet tapi dalam masa sama berperanan menjaga kebajikan atlet.

“Maksudnya wartawan sukan juga adalah wira negara dan mereka bekerja tanpa mengira bangsa dan fahaman politik,” kata Syed Saddiq.

Dalam pada itu, kejayaan merangkul juara acara perseorangan lelaki di Kejohanan Bowling Lelaki Dunia di Hong Kong membolehkan Rafiq Ismail merangkul Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2018.

Atlet kelahiran Perlis, Ridzuan Mohd Puzi pula meraih anugerah Atlet Paralimpik Terbaik selepas kejayaannya di Sukan Para Asia di Jakarta tahun lepas dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan juga Asia.

Kedua-dua mereka berjaya membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Hotel Hilton Petaling Jaya.

ANUGERAH SAM 2018

Atlet Terbaik: Rafiq Ismail (bowling)

Atlet Paralimpik Terbaik: Ridzuan Puzi (olahraga)

Atlet Muda Terbaik: Fauzi Kaman Shah (pelayaran)

Persatuan Sukan Dinamik: Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA)

Anugerah Khas: Regu sepak takraw

Anugerah Pilihan Peminat 100PLUS: Ridzuan Puzi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:25 PM