JUARA keirin dunia Azizulhasni Awang meraih anugerah Atlet Terbaik manakala Ziyad Zolkefli dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Terbaik di majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2017 sebentar tadi.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun Azizulhasni dan Ziyad tidak dapat hadir pada majlis berkenaan kerana berada di luar negara bagi menyertai pertandingan dan juga latihan.

Azizulhasni, 30, atlet berbasikal trek dari Dungun, Terengganu itu yang juga dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman memenangi anugerah Atlet Terbaik buat kali kedua di Anugerah SAM, kali pertama pada tahun 2009.

Kejayaannya meraih emas pertama keirin untuk negara di Kejuaraan Trek Dunia UCI di Hong Kong April tahun lalu memberi kelebihan buat Azizulhasni berbanding calon-calon lain dalam kategori berkenaan.

AZIZULHASNI (kiri) raih  anugerah Atlet Terbaik manakala Ziyad dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Terbaik Anugerah SAM.
AZIZULHASNI (kiri) raih anugerah Atlet Terbaik manakala Ziyad dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Terbaik Anugerah SAM.

Dia kini berada di Apleldorn, Belanda bagi mempertahankan gelarannya di Kejuaraan Trek Dunia UCI.

Ziyad pula sedang menjalani latihan intensif di Leipzig, Jerman dalam persediaannya menghadapi Grand Prix Para Dunia di Dubai pada 13-16 Mac ini.

Atlet T20 itu mencatat rekod baharu dunia di Sukan Para Dunia di London.

Pada majlis berkenaan, SAM turut mengiktiraf sumbangan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar terhadap pembangunan sukan di Malaysia.

ZAHID ketika hadir pada Majlis Anugerah (SAM di hotel Petaling Jaya Hilton. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
ZAHID ketika hadir pada Majlis Anugerah (SAM di hotel Petaling Jaya Hilton. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR

SENARAI PEMENANG:

• ATLET TERBAIK: Azizulhasni Awang (berbasikal)

• ATLET PARA TERBAIK: Ziyad Zolkefli (olahraga)

• ATLET MUDA TERBAIK: Aaliyah Yoong Hanifah (ski air)

• ANUGERAH KHAS: Gavin Kyle Green (golf) dan skuad boling wanita

• PERSATUAN PALING DINAMIK: Persatuan Bola Sepak Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 11:00 PM