Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada wakil atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang dinobatkan Atlet Para Terbaik pada majlis anugerah tahun lalu sambil disaksikan Jasni (kiri).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada wakil atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang dinobatkan Atlet Para Terbaik pada majlis anugerah tahun lalu sambil disaksikan Jasni (kiri).
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengamal media sukan mendapat satu lagi pengiktirafan hari ini apabila Kementerian Perpaduan Negara bersetuju untuk menjadi rakan kongsi bagi mengangkat karya sukan melalui Anugerah SAM-100Plus yang menjadi acara tahunan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sejak lebih sedekad lalu.

Melalui kerjasama ini, Kementerian Perpaduan Negara akan menyalurkan geran tajaan bermula tahun 2021 kepada SAM dan mewujudkan tiga kategori baharu dalam anugerah berprestij sukan itu.

Persetujuan itu dinyatakan melalui surat Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique kepada SAM hari ini.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Datuk Jasni Shafie merumuskan penyertaan Kementerian Perpaduan akan menjadikan Anugerah SAM-100Plus sebagai suatu lagi medan pengiktirafan kepada penggiat media sukan tanah air yang turut memainkan peranan secara tidak langsung untuk mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui laporan sukan masing-masing.

"SAM amat berterima kasih atas idea yang dilahirkan oleh Halimah untuk mengajak media sukan membantu kementerian memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat dan hasilnya kita bersetuju untuk mewujudkan kategori baharu dalam anugerah tahunan SAM," katanya.

Anugerah SAM yang bermula pada tahun 1985 adalah majlis menghargai peranan atlet dan warga kewartawanan sukan tempatan dengan enam kategori Anugerah Kewartawanan mula dipertandingkan pada tahun 2009 selain anugerah kepada atlet terbaik negara.

Tiga kategori baharu yang akan diperkenalkan mulai tahun ini ialah Laporan Media Terbaik (Media Berbahasa Melayu), Laporan Media Terbaik (Media Bukan Berbahasa Melayu) dan Foto Perpaduan Terbaik.

Perincian lanjut mengenai kriteria penyertaan akan dimaklumkan oleh SAM dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:20 PM