Bonnie muncul juara berganda di Kejohanan Dunia di Nur-Sultan, Kazakhstan tahun lalu. FOTO File NSTP
Bonnie muncul juara berganda di Kejohanan Dunia di Nur-Sultan, Kazakhstan tahun lalu. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


ATLET powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin berjaya meletakkan namanya dalam senarai empat atlet popular untuk merebut trofi Atlet Terbaik Para di majlis anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019 yang akan berlangsung pada 1 September di Dewan Auditorium, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Kuala Lumpur.

Memulakan kariernya sebagai atlet seawal 15 tahun, atlet kelahiran Sarawak itu menyaksikan namanya kini terukir antara salah seorang daripada jaguh terbaik dunia.

Tanggal 15 Julai tahun lalu menjadi detik paling manis buat atlet berusia 20 tahun itu apabila menaiki podium selaku juara di Kejohanan Dunia di Nur-Sultan, Kazakhstan sebanyak dua kali berturut-turut.

Pingat emas pertama diperoleh dalam kategori remaja 65 kilogram (kg) sebelum Bonnie mengejutkan jaguh dunia yang lebih berpengalaman termasuk juara dunia, Paul Kehinde apabila melakukan angkatan 207kg dalam kategori yang sama sekali gus dinobat selaku juara.

Pengerusi Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019, Faisal Jamal berharap pencalonan Bonnie dan calon lain menjadi penyuntik semangat buat semua atlet para negara untuk menggapai kejayaan yang lebih cemerlang.

"Dengan pencapaian yang dilakar oleh atlet para negara, kami berharap usaha keras mereka dan perancangan yang efisien daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan menghasilkan lebih ramai atlet para negara yang berjaya mengesahkan slot ke sukan Olimpik," katanya.

Bonnie bakal dicabar dua atlet memanah para negara, S Suresh dan Wiro Julin serta jaguh lontar peluru, Mohd Ziyad Zolkefli.

Suresh adalah pemanah recurve negara dengan pencapaian terbaik atlet berusia 26 tahun itu memenangi pingat emas di kejohanan Memanah Para Dunia yang berlangsung di Hertogenbosch, Belanda pada Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 7:07 PM