Pemain Perak, GilmarJose Da Silva (tengah) cuba menanduk bola sambil dihalang pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie (kiri) dalam perlawanan Liga Super. FOTO Muhaizan Yahya.
Pemain Perak, GilmarJose Da Silva (tengah) cuba menanduk bola sambil dihalang pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie (kiri) dalam perlawanan Liga Super. FOTO Muhaizan Yahya.
Shamsul Kamal Amarudin


IMEJ `duri dalam dalam daging' PKNS FC kepada pasukan Perak pada musim lalu jelas masih berterusan musim ini menerusi keputusan seri 2-2 di Stadium Perak, malam tadi.

Musim lalu, satu-satunya kemenangan dicatatkan Perak terhadap PKNS ialah pada pertemuan kedua suku akhir Piala Malaysia apabila pasukan The Bos Gaurus (TBG) itu menumpaskan pasukan kelab berkenaan dengan jaringan 2-0.

Lima pertemuan lain menyaksikan PKNS memenangi tiga perlawanan manakala dua lagi berkesudahan dengan keputusan seri.

Begitupun, pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal, tidak mahu melihat perlawanan malam tadi daripada sudut pandangan berkenaan walaupun mengakui anak buahnya seolah-olah ada suntikan motivasi istimewa setiap kali bertemu Perak.

"Saya tidak tahu, yalah daripada musim lepas (Perak sukar menumpaskan PKNS), saya tidak tahu kenapa, tetapi pemain kita lebih fokus kepada permainan mereka, kita datang ke sini untuk bermain dengan baik dan boleh dapat keputusan positif dan kemungkinan kemenangan jika bermain dengan baik.

"Tiap-tiap kali (bermain baik apabila bertemu Perak), mungkin pemain ada suntikan motivasi istimewa apabila bertemu Perak," katanya.

Rajagobal berpuas hati memperoleh satu mata bertandang ke Stadium Perak kerana mengetahui bukan mudah bertemu dengan Perak walaupun ada masa harus sentiasa mengingatkan anak didiknya yang ada kalanya kelihatan hilang fokus ketika dalam permainan.

Beliau berkata, kepantasan dan tenaga yang ditonjolkan pemain ketika menumpaskan Melaka United dalam perlawanan sebelum ini turut berjaya dijelmakan dalam pertembungan dengan Perak malam tadi.

Rajagobal juga tidak melihat bolos empat gol dalam dua perlawanan terakhir berbanding hanya melepaskan satu gol dalam enam perlawanan sebelum ini, sebagai menunjukkan benteng PKNS semakin rapuh.

“Kita tidak boleh buat kesimpulan begitu, walaupun kita tahu pertahanan bermain dengan baik. "Kadang-kadang apabila kita buat kesilapan individu, kita tidak boleh salahkan pertahanan yang lain, saya fikir kalau kita boleh meningkatkan permainan kita, (PKNS) tidak akan dibolosi lagi, tiap pemain akan belajar daripada penyerang berbeza dan cara permainan pasukan yang berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:03 PM