RAJAGOBAL akui pasukannya tidak boleh mengelak bertemu pasukan kuat. FOTO Owee Ah Chun.
RAJAGOBAL akui pasukannya tidak boleh mengelak bertemu pasukan kuat. FOTO Owee Ah Chun.
Aziman Rosdi


JURULATIH PKNS FC, Datuk K Rajagobal menegaskan anak buahnya bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pasukan pada suku akhir selepas mereka melepasi pusingan awal Piala Malaysia dengan mengatasi Melaka United 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu mara ke pusingan seterusnya bersama FELDA United apabila berkongsi 10 mata selepas lima perlawanan dengan Melaka United meraih enam mata dan Polis Diraja Malaysia (satu mata) dalam saingan Kumpulan B.

PKNS akan bertemu PDRM manakala FELDA United menentang Melaka United pada 15 September ini untuk menentukan juara kumpulan.

Bagaimanapun, Rajagobal menganggap perlawanan itu sekadar pelengkap jadual kerana kedudukan selaku juara kumpulan tidak menjamin mereka mendapat laluan mudah pada suku akhir.

“Kami tidak boleh mengelak bertemu pasukan kuat kerana bagi saya dua pasukan dari Kumpulan A, Terengganu FC dan Perak pasukan kuat.

“Jadi kami kena bersedia untuk bertemu mana-mana pasukan pada pusingan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan dengan Melaka United, malam tadi.

PKNS mendahului menerusi percubaan pemain Colombia, Romel Morales pada minit ke-23, namun pemain sayap Melaka United, Syahrul Azwari Ibrahim menyamakan kedudukan pada minit ke-54.

Bagaimanapun, penyerang import Rafael Ramazotti memastikan tiga mata buat tuan rumah dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-66.

Rajagobal berkata, ia perlawanan yang sukar susulan pemainnya terpaksa bergelut dengan kecergasan.

“Saya risau dengan tahap kecergasan pemain kerana jadual padat selepas perlawanan Piala Sultan Selangor, kami ke Jengka bertemu FELDA United dan kemudian Melaka United.

“Tapi saya gembira kerana pemain menunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan malam ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 5:56 PM