SOLSKJAER tenang menghadapi kritikan. — FOTO AFP
SOLSKJAER tenang menghadapi kritikan. — FOTO AFP
AFP

OLE Gunnar Solskjaer akan membawa Manchester United ke gelanggang terburuknya sebagai pengurus apabila beliau bertandang ke Wolverhampton Wanderers awal pagi Rabu ini, namun kritikan Louis van Gaal tidak menjejaskan pengendali dari Norway itu.

Van Gaal melemparkan kritikan pedas dalam satu temu ramah minggu lalu yang mana beliau mendakwa hanya keputusan United meningkat, bukannya corak permainan apabila pasukan Solskjaer dibandingkan dengan kelompok pemain yang diwarisinya daripada Jose Mourinho.

Ia penilaian yang kelihatan ada benarnya ketika United merakam kemenangan 2-1 ke atas Watford Sabtu lalu sekalipun beraksi hambar, kemenangan ke-15 Solskjaer dalam 20 perlawanan.

Namun ia juga keputusan yang meletakkan United dalam kedudukan baik bagi penamat empat teratas, prospek yang kelihatan mustahil apabila Solskjaer mengambil alih susulan pemecatan Mourinho, Disember lalu.

MARCUS Rashford (kiri) antara tonggak harapan Solskjaer di United. — FOTO EPA
MARCUS Rashford (kiri) antara tonggak harapan Solskjaer di United. — FOTO EPA

Ketika beliau bersedia untuk membawa United kembali ke tempat yang menyaksikan mereka kalah pada suku akhir Piala FA di tangan Wolves, Solskjaer mempertahankan gaya permainan yang ditampilkan pasukannya.

“Louis berhak memberikan pendapat,” katanya. “Sesetengah perlawanan kami menekan lawan sepanjang masa, memenangi bola dan kemudian mendominasi.

“Mungkin beliau bercakap lebih banyak mengenai perlawanan menentang PSG, yang mana kami perlu bertahan dengan baik dan kemudian melancarkan serangan balas pantas.

“Ia mengenai di mana anda memenangi bola. Anda perlu bertahan untuk memenangi bola sekali gus melakukan serangan. Anda perlu memenangi bola terlebih dahulu sebelum menyerang.

“Saya amat gembira dan bersyukur kerana memiliki pasukan yang banyak pengalaman.

“Kebanyakan pemain di sini pernah bersama Mourinho, Van Gaal, (David) Moyes dan Fergie (Alex Ferguson). Mereka tahu banyak perkara mengenai permainan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 1:24 PM