AFP

London: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan pemainnya yang menjuarai Liga Perdana Inggeris tidak menerima sanjungan sepatutnya dan berjenaka mengenai pasukan yang berakhir di belakang mereka, kelmarin.

Pengendali Portugis berusia 52 tahun itu, pasukannya menamatkan musim lapan mata di depan juara 2014, Manchester City, menggunakan majlis makan malam hujung musim Chelsea dengan mempersenda City, Arsenal, yang berakhir di tangga ketiga dan pasukan tangga keempat Manchester United.

Dengan berlatar belakangkan grafik menunjukkan padang dengan dua gol, beliau memulakannya dengan United yang diurus Louis van Gaal apabila menyatakan mereka lebih suka bermain tanpa gol.

“Pasukan itu bermain dengan amat bagus dan kualiti pegangan bola juga amat menarik, tapi tiada gol,” kata Mourinho.

“Mereka meminta FIFA supaya bermain seperti ini, tapi mereka diberitahu ia tidak mungkin, kerana pegangan bola yang berlebihan tidak menjamin anda menang perlawanan dan mereka tidak muncul juara.”

City sekurang-kurangnya mahu bermain dengan satu gol.

“Mereka fantastik dan menjaringkan banyak gol dan gol hadir dari segenap penjuru dan mereka menjaringkan banyak gol, tapi tidak pernah melepaskan gol, kerana tiada tiang gol.

“Sekali lagi FIFA memaklumkan mereka ‘Maaf, anda tidak boleh menjadi juara kerana bola sepak perlu ada dua gol’.”

Arsenal pula, pasukan dengan jersi merah dan lengan putih tidak mahu bermain dengan dua gol.

“Mereka menjaringkan gol, mereka juga melepaskan gol. Mereka fantastik. Mereka menjaringkan gol yang amat cantik, mereka juga melepaskan gol dan hampir muncul juara,” kata Mourinho, yang turut mengemudi Chelsea memenangi trofi Piala Liga.

“Namun, mereka meminta FIFA supaya bermain hanya antara Januari dan April. Mereka diberitahu ‘lupakan, tiada peluang’.

“Anda perlu bermain antara Ogos dan Mei, jadi mereka tidak boleh menjadi juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:38 AM