JUVENTUS. FOTO EPA
JUVENTUS. FOTO EPA
AFP

SKUAD juara Itali, Juventus kini mengalih perhatian mereka terhadap misi memburu gelaran Serie A kelapan berturut-turut hujung minggu ini, beberapa minggu selepas pergaduhan meletus susulan ejekan berbaur perkauman ditujukan terhadap pemain muda Moise Kean di Cagliari.

Anak buah Massimiliano Allegri kembali ke laman Allianz Stadium di Turin untuk menanti kunjungan AC Milan selepas kunjungan ke Sardinia awal pagi Rabu berakhir dengan kekecohan apabila Kean dan rakan sepasukan Blaise Matuidi diejek penyokong yang membuat suara monyet dan ejekan berbaur perkauman.

Juventus mungkin menjuarai liga itu ketika berbaki tujuh perlawanan, paling awal pernah dicapai mana-mana pasukan Serie A jika mereka menewaskan AC Milan dan pencabar utama Napoli tewas kepada Genoa di laman sendiri.

Skuad gergasi Turin itu mempunyai kelebihan 18 mata berbanding Napoli dan menang kedua-dua perlawanan menentang kelab kendalian Carlo Ancelotti musim ini.

“Kejuaraan kelapan berturut-turut itu ini dalam fasa ‘muat naik’,” kata kapten Juve Giorgio Chiellini.

“Ketika ini proses muat naik sudah hampir selesai. Ini adalah dua minggu yang amat penting bagi kami.”

Dijana pembelian Cristiano Ronaldo pada musim panas, Juventus menempuhi kempen ini tanpa tandingan dengan hanya satu kekalahan daripada 30 perlawanan, iaitu pada 17 Mac ketika menentang Genoa apabila bintang Portugal itu direhatkan.

Namun skuad Allegri kini mengumpul momentum sebagai persediaan untuk suku akhir Liga Juara-Juara, perlawanan pertama menentang Ajax di Amsterdam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 12:00 PM