CRISTIANO RONALDO
CRISTIANO RONALDO
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo menyempurnakan penalti untuk mengesahkan kemenangan besar 3-0 Juventus ke atas Fiorentina, awal pagi tadi ketika juara Itali itu meneruskan momentum pemburuan kejuaraan kelapan berturut-turut Seria A.

Kemenangan menyaksikan gergasi Itali kini meninggalkan jurang yang besar di puncak liga dengan kelebihan 11 mata.

Ronaldo menjaringkan gol ke-10 miliknya daripada 14 perlawanan liga apabila menyempurnakan penalti pada minit ke-79 dengan gol pembukaan dijaringkan Rodrigo Bentancur selepas sejam perlawanan berlangsung manakala kapten, Giorgio Chiellini meledak gol kedua pada minit ke-69.

Bintang Portugal itu dikeluarkan sejurus menjaringkan gol - buat pertama kali musim ini - selepas dia dilayangkan kad kuning dan menghabiskan 10 minit di bangku simpanan.

“Usaha berpasukan yang hebat. Kemenangan yang penting,” kata pemenang lima kali Ballon d'Or itu dalam laman media sosialnya selepas perlawanan berkenaan.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri kini mengumpul 40 mata daripada 14 perlawanan dengan pasukan tangga kedua, Napoli memiliki 29 mata sebelum mereka menanti kunjungan Atalanta, awal pagi Selasa.

Ia kemenangan kelima berturut-turut Juve dalam kempen Serie A dan ke-13 daripada 14 perlawanan dengan mereka meraih kemenangan dalam semua aksi di gelanggang lawan dan sekali seri di gelanggang sendiri menentang Genoa.

“Skuad ini adalah juara yang hebat, bakat hebat, tetapi lebih daripada itu, lelaki yang hebat,” kata Allegri. “Teknik saja tidak mencukupi, kamu mempunyai rasa rendah diri... Kamu memerlukan pemain yang terbuka untuk menghambat pasukan, dan bekerja dengan rakan sepasukan.

“Kami tahu kesukarannya, tetapi selepas itu kami memimpin perlawanan itu,” kata Allegri beberapa hari selepas skuad kendaliannya mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:09 AM