Saiful Affendy Sapran


SATU jawatankuasa sementara akan ditubuhkan bagi mengambil alih tugas Persatuan Automobil Malaysia (AAM) selepas badan itu dilucutkan status sebagai persatuan sukan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman yang memahami keresahan warga sukan permotoran terutamanya barisan pemandu dan pelumba berhubung isu itu berkata, beliau akan menemui Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini untuk membincangkan perkara itu.

Jelas Zaiton, keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa sementara itu disuarakan sendiri oleh ahli gabungan yang terdiri daripada pelbagai entiti yang bermesyuarat bersamanya semalam.

"Jawatankuasa ini akan ambil alih tugas-tugas AAM sehingga satu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dibuat dalam proses untuk menubuhkan satu badan yang baru.

Kami akan mempercepatkan proses ini supaya sukan permotoran Malaysia tidak terjejas.

"Esok (hari ini) adalah hari di mana menteri dijangka akan membuat keputusan tentang apakah langkah sebenarnya untuk sukan permotoran di Malaysia," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan bendera kejohanan kepada atlet Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik (MAGGA) yang akan beraksi di empat kejohanan termasuk Piala Dunia di Singapura bulan depan.

Ditanya mengapa tidak terus mengiktiraf Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) sebagai badan sukan untuk menggantikan AAM, Zaiton perkara pihaknya perlu mengikut prosedur sedia ada. "Kemungkinan cara ini tidak bersesuaian dengan prosedur antarabangsa.

Kebiasaannya kita perlu tubuhkan satu jawatankuasa yang baru dan dalam hal ini MAM juga turut terbabit," katanya.

Jelas Zaiton, beliau sedia maklum akan berlangsung banyak perlumbaan di dalam tempoh terdekat dan atas faktor itu, beliau berkata isu berkenaan perlu diselesaikan segera.

Zaiton menerusi laporan sebelum ini mengesahkan AAM sudah dibatalkan sebagai badan sukan sejak November tahun lalu kerana gagal mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997.

Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana AAM enggan bekerjasama walaupun selepas beberapa kali diberi surat peringatan dan tunjuk sebab sekali gus mereka tidak boleh menganjurkan, menjalankan, membenarkan atau menyertai apa-apa aktiviti termasuk pertandingan, acara atau forum yang sedang berlangsung bagi mana-mana sukan di dalam atau di luar negara. Keputusan PJS itu menyebabkan keresahan seluruh warga sukan permotoran yang tertanya-tanya apakah badan yang perlu menjadi rujukan mereka selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 6:09 PM