Bekas Juara Dunia Rali, Karamjit Singh. FOTO Rohanis Shukri
Bekas Juara Dunia Rali, Karamjit Singh. FOTO Rohanis Shukri
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat pelumba legenda rali negara, Karamjit Singh untuk kembali berlumba semakin menampakkan sinar apabila sudah ada pihak dikatakan berminat untuk menjadi penaja kepadanya.

Setiausaha Agung Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Muizz Azli berkata, setakat ini pihak berkenaan ada bertanyakan mengenai Karamjit menerusi MAM dan badan induk itu akan menjadi pemudah cara menemukan pihak itu bersama Karamjit.

"Selain menggunakan khidmat serta kepakaran Karamjit untuk menjadi jurulatih dan sebagainya menerusi kejohanan rali, kami juga boleh membantunya menerusi urusan penajaan.

"Kalau ada mana-mana pihak bertanya kepada MAM untuk tujuan tajaan, kami akan terus memperkenalkan Karamjit kepada pihak berkenaan.

"Jika segala-galanya berjalan dengan baik, minggu depan akan ada satu pengumuman penajaan untuk Karamjit. Perkara itu biarlah Karamjit yang akan umumkan sendiri," katanya.

Muizz menegaskan, MAM akan sentiasa berfungsi menjadi pemudah cara kepada seseorang atlet sukan permotoran.

"Jika dulu setiap atlet sukan permotoran pergi sendiri ke KBS (Kementerian Belia dan Sukan), tetapi sekarang mereka akan pergi menerusi MAM dan kita sudah siapkan segala-galanya," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi laporan Arena Metro menegaskan bahawa pihaknya akan berusaha membantu bekas juara rali dunia itu untuk beraksi semula di Perlumbaan Rali Asia Pasifik (APRC) tahun depan.

Legenda yang mendapat julukan The Flying Sikh berkenaan sebelum itu terpaksa menjual kereta kesayangan, Proton Waja pada harga RM7,000 bagi mendapatkan modal membeli kereta baharu untuk bekerja sebagai pemandu Grab demi meneruskan kelangsungan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 12:31 PM