RUSSEL (kanan) padam rekod Khairul Hafiz dalam acara 200m dengan catatan masa 20.77s.
RUSSEL (kanan) padam rekod Khairul Hafiz dalam acara 200m dengan catatan masa 20.77s.
Saiful Affendy Sapran

RUSSEL Alexander Nasir Taib berharap kejayaan melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara 200 meter (m) kelmarin tidak hanya terhenti di situ saja.

Sebaliknya, pelari pecut negara yang berpangkalan di Australia itu berkata, dia akan terus berusaha untuk memecahkan rekodnya itu di kejohanan yang bakal disertainya selepas ini.

Antara kejohanan yang ingin disertainya ialah temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini dan Kejohanan Olahraga Asia di Doha, bulan depan.

“Saya harap dapat terpilih untuk beraksi dalam acara 200m kerana ia adalah acara kegemaran saya.

“Ketika ini fokus utama saya adalah untuk terus memperbaiki catatan masa dalam acara 200m sebanyak yang mungkin,” katanya.

Kelmarin, Russel melakar rekod baru kebangsaan dalam acara 200m apabila mencatat masa 20.77 saat (s), sekali gus meraih pingat perak di Kejohanan Trek Klasik Queensland di Brisbane, Australia.

Dia memadam rekod milik sensasi pecut negara, Khairul Hafiz Jantan 20.90s yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Russel berkata, dia akan beraksi pada Grand Prix (GP) Malaysia yang akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya akan beraksi dalam acara 100 dan 200m,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 7:01 AM