Russel Alexander. FOTO FILE NSTP.
Russel Alexander. FOTO FILE NSTP.
Azlan Muhammad Zain


TIADA rekod baru berjaya dilakukan atlet berdarah campuran Malaysia-Australia, Russel Alexander Nasir Taib dalam acara 200 meter(m) di Grand Prix Terbuka Malaysia.

Dia yang masih segar melakar rekod baru kebangsaan 200m pada 23 Mac lalu terpaksa akur dengan catatan 21.12 saat(s) dengan meraih kedudukan kedua malam ini.

Perlumbaan dimenangi atlet Taiwan, Tan Sheng Wei dengan masa 21.00s manakala tempat ketiga diraih Shou Po Yeh dari Taiwan dengan masa 21.24s.

"Saya masih merasa keletihan dalam aksi di Australia ketika melakar rekod baru Malaysia. Selain itu perjalanan yang jauh sedikit sebanyak menyumbang kepada situasi ini.

"Saya tetap gembira dengan catatan walaupun tidak seperti diharapkan. Saya akan kaji apa yang boleh diperbaiki," katanya selepas perlumbaan.

Atlet berusia 21 tahun itu menjadi tumpuan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas berjaya melebur rekod kebangsaan acara 200m di Kejohanan Trek Klasik Queensland (Queensland Track Classic) pada 23 Mac lalu.

Kepantasan dicatat Russel mengatasi rekod kebangsaan 20.90s milik Khairul Hafiz atau dikenali sebagai The Speedy Jantan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 yang berlangsung di Stadium Nasional.

Sementara itu, usaha atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei memecahkan rekod kebangsaan 2.30m juga tidak berhasil.

Dua cubaannya tidak berhasil dan terpaksa berpuas hati dengan catatan 2.27m untuk meraih emas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 10:30 PM