RUSSEL (kiri) hadiahkan perak buat negara di Brisbane.
RUSSEL (kiri) hadiahkan perak buat negara di Brisbane.
Saiful Affendy Sapran


PELARI pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara 200 meter apabila mencatat masa 20.77 saat sekali gus meraih pingat perak pada Kejohanan Trek Klasik Queensland di Brisbane, Australia, semalam.

Atlet olahraga negara yang berpangkalan di Australia itu memadam rekod milik sensasi pecut negara, Khairul Hafiz Jantan 20.90s yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ketika itu, Khairul memecahkan rekod yang bertahan selama 49 tahun milik pelari legenda, Tan Sri Dr M Jegathesan 20.92s yang dilakukan pada 1968.

Russel terlepas emas selepas tewas kepada Kei Takase dari Jepun yang melakukan catatan 20.75s.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas yang mengesahkan rekod itu mengakui gembira dengan perkembangan itu terutama dalam laluan Russel untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sememangnya ia satu perkembangan yang amat baik buat Russel. Malah dalam beberapa kejohanan sebelum ini juga dia sudah menunjukkan peningkatan dalam acara 200m.

“Saya percaya pada masa akan datang Russel mampu untuk memperbaiki lagi rekodnya itu. Yang penting sekarang untuknya adalah untuk terus berusaha layak ke Sukan Olimpik Tokyo,” katanya ketika dihubungi.

Januari lalu pelari berusia 21 tahun itu hanya kurang 0.04s saja untuk menyamai rekod milik Khairul ketika memenangi saingan final 200m Kejohanan Olahraga Shield Series di Pusat Olahraga dan Sukan Queensland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 8:01 AM