PERNILLA LINDBERG
PERNILLA LINDBERG
Agensi

CALIFORNIA: Pemain Sweden, Pernilla Lindberg merangkul gelaran LPGA pertamanya apabila mengatasi bintang Korea Selatan, In-bee Park pada pusingan playoff Kejohanan ANA Inspiration di Rancho Mirage, California, sebentar tadi.

Pernilla yang juga pemain nombor 95 dunia, melengkapkan kejutan apabila membenam birdie dari jarak 25 kaki di lubang playoff kelapan di Lapangan Mission Hills.

Juara tujuh kejohanan utama, In-bee terlepas birdie dari jarak 15 kaki sekali gus membolehkan Pernilla memenangi kejohanan utama pertamanya.

Pernilla adalah pemain Sweden ketiga yang memenangi kejohanan utama di Lapangan Mission Hills selepas Annika Sorenstam (tiga kali) dan Helen Alfredsson.

“Saya seorang yang tidak menyerah kalah dan menjelang hujung saingan, saya dapat rasakan bahawa saya bakal muncul juara. Saya memang bersikap begini,” kata Pernilla, 31.

“Setiap hari, saya melihat nama saya di kedudukan teratas dan hari ini, saya dapat rasakan bahawa saya akan berjaya. Saya berjaya mengekalkan ketenangan untuk menang.”

Begitupun, sama seperti penonton, dia juga terkejut apabila pukulan putt kemenangan berjaya menemui lubang.

“Saya tidak ingat bila kali terakhir saya melakukan putt sedemikian,” katanya.

Playoff antara kedua-dua pemain itu terpaksa diheret hingga ke hari ini selepas cuaca gelap memaksa mereka menangguhkan aksi.

Tiga pemain layak untuk ke playoff tetapi pemain Amerika Syarikat, Jennifer Song gagal menyaingi Pernilla dan In-bee di lubang playoff ketiga.

Pernilla berpeluang menang selepas lubang par 5 ketujuh tetapi birdie yang dicarinya tersasar.

Dia bagaimanapun menebus kesilapan itu di lubang 8 sekali gus melengkapkan impian sejak zaman kanak-kanaknya.

“Saya pernah menulis mengenai impian saya ketika di sekolah tinggi dan impian itu ialah memenangi kejohanan utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 7:20 AM