Pengurus Arsenal, Unai Emery. FOTO EPA.
Pengurus Arsenal, Unai Emery. FOTO EPA.
Reuters

PENGURUS Arsenal Unai Emery memuji kemampuan pemainnya beraksi dalam tekanan selepas bangkit dari kekalahan 3-1 kepada Rennes dalam perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Europa untuk menang 3-0 seterusnya mara dengan agregat 4-3.

Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol pada setiap babak permainan dan mencipta gerakan buat Ainsley Maitland-Niles melakukan jaringan sekali gus membolehkan pasukan dari Utara London itu menyertai pencabarnya, Chelsea di suku akhir dalam pertandingan kelab peringkat kedua di Eropah itu.

Arsenal menjadi pasukan tunggal yang berjaya bangkit dua kali dalam saingan Liga Europa selepas tewas 3-1 dalam perlawanan pertama.

“Kebangkitan semula ini sangat sukar, namun saya fikir maklum balas daripada pemain sangat bagus.” kata Emery.

“Kami boleh berbangga dengan semua pemain hari ini kerana ia adalah minggu yang sukar - menentang (Manchester) United pada Ahad dan hari ini menentang Rennes.

Kemenangan 2-0 Arsenal di gelanggang sendiri ke atas Manchester United pada Ahad memberi harapan kepada pasukan itu untuk menamatkan kempen liga dalam kelompok empat teratas dan tiket beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.

“Beraksi dalam tekanan adalah bagus, beraksi matang ketika diserap tekanan dengan setiap pemain beraksi dalam satu pasukan dan merasai detik sukar untuk memberi aksi terbaik,” kata Emery.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 10:35 AM