AKSI Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini. FOTO Bernama
AKSI Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun tidak mempamerkan pendaratan sempurna terutama di terjunan ketiga, keempat dan kelima, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee mengakui sudah melakukan yang terbaik dalam acara terjun 10 meter (m) platform seirama wanita di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.

Ketika seluruh rakyat Malaysia menantikan pingat sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020, gandingan Pandelela-Mun Yee hanya menduduki tempat kelapan.

Sebelum ini, skuad terjun diletakkan harapan untuk menyinar di temasya kali ini bersama-sama badminton dan berbasikal.

Pandelela sudah pasti dirundung kecewa kerana bukan saja gagal menghadirkan pingat sulung negara, malah tidak berjaya mempertahankan perak diraihnya dalam acara sama di Rio 2016 bersama Cheong Jun Hoong.

"Terima kasih kerana menyokong kami. Kami sudah buat yang terbaik dan mungkin tuah tidak memihak kepada kami hari ini. Kami akan terus berusaha untuk acara seterusnya," kata Pandelela.

Pandelela masih mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan itu apabila dia akan turun beraksi dalam acara 10m platform individu wanita bermula 4 Ogos ini.

Selepas cemerlang di terjunan pertama dan kedua Pandelela dan Mun Yee hanya meraih 277.98 mata, selepas masing-masing gagal melakukan pendaratan sempurna di terjunan ketiga, keempat dan kelima.

Mun Yee yang beraksi di Olimpik terakhirnya dilihat melakukan kesilapan pada terjunan ketiga dan keempat, sebelum Pandelela pula melakukan perkara sama di terjunan terakhir.

Impiannya untuk meraih pingat pada penampilan kali kelima di pentas Olimpik tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, penerjun berusia 36 tahun itu masih boleh berbangga dengan layak ke Olimpik bermula di Sydney pada 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.

"Prestasi saya kurang baik pada terjunan ketiga dan keseluruhannya kurang memuaskan. Pada sesi latihan terjunan kami lebih baik.

"Acara saya sudah berakhir dan saya harap rakan lain dapat membuat lebih baik," kata Mun Yee.

Pingat emas menjadi milik gandingan penerjun China, Chen Yuxi-Zhang Jiaqi yang mengumpul 363.78, manakala perak pula diraih wakil Amerika Syarikat, Jessica Parratto-Delaney Schnell (310.80) dan gangsa dibawa pulang pasangan Mexico, Gabriela Agundez-Alejandra Orozco (299.70).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 5:26 PM