AHMAD Faisal Mohamed Fiah.
AHMAD Faisal Mohamed Fiah.
Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Langkah memperluaskan pemberian pencen kepada atlet sukan yang tidak ke Olimpik atau Paralimpik adalah sesuatu yang wajar dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut pemerhati sukan tempatan, Ahmad Faisal Mohamed Fiah (gambar), ia adalah masa yang tepat untuk melaksanakannya susulan isu kebajikan atlet yang semakin menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini.

“Mereka sudah menyumbang keringat untuk negara, jadi tidak salah kita kembalikan atau membalas jasa mereka dengan memberikan sesuatu yang berkekalan sehingga akhir hayat,” jelas pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA itu.

Beliau diminta mengulas cadangan Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen A Daud yang berharap pencen di bawah Skim Imbuhan Tetap Olimpik dan Paralimpik (SITO) yang dikhususkan kepada pemenang pingat Olimpik turut disalurkan kepada sukan yang tidak tersenarai ke temasya itu terutamanya yang sudah bergelar juara dunia.

Pemenang emas di Olimpik dan Paralimpik akan mendapat elaun bulanan berjumlah RM5,000, perak RM3,000, manakala gangsa RM2,000 yang diterima sepanjang hayat.

Ia turut disokong pemenang tiga kali Mr Universe, Syarul Azman Mahen Abdullah yang berpandangan ia boleh dipanjangkan kepada mereka yang turut menjulang nama di peringkat dunia.

“Saya turut senada... mungkin ada mekanisme tertentu boleh diambil kira dalam usaha membolehkan pencen diberikan kepada mereka. Mungkin boleh ambil kira tempoh mereka mewakili negara atau diukur berdasarkan pencapaian.

“Walau apa cara sekalipun saya berpandangan ia boleh dilaksanakan terutamanya dengan situasi semasa yang berlaku dalam arena sukan negara membabitkan tiga bekas atlet paracycling baru-baru ini yang terpaksa menjual jambu tepi jalan dan mencari kerja sehingga ke Singapura.

“Saya pasti kebanyakan ibu bapa di luar sana mahu menggalakkan anak mereka menjadi atlet sehingga peringkat tertinggi, namun dengan wujudnya beberapa isu sejak kebelakangan ini membabitkan kebajikan, ia pasti menimbulkan ketakutan dan kebimbangan.

“Jadi langkah memperluaskan pencen adalah salah satu cara menyuntik kembali keyakinan ibu bapa. Kita tidak mahu pada masa akan datang atlet yang menyumbang jasa kepada negara terpaksa merempat, meminta sedekah dan berada dalam situasi menyedihkan.

“Malah idea yang bagus seperti ini seharusnya diperhalusi dan diperluaskan kepada semua atlet sekiranya menepati syarat yang ditetapkan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 8:01 AM