Penjaga gol Terengganu FC Muhammad Ilham Amirullah Razali.
Penjaga gol Terengganu FC Muhammad Ilham Amirullah Razali.
Malik Muhamad


PENJAGA gol muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Ilham Amirullah Razali sedia berdepan 'peluru' daripada penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Jumaat ini.

Bekas penjaga gol Negeri Sembilan musim lalu kelahiran Dungun yang lebih mesra dipanggil Ang menyatakan, dia tidak gentar dengan reputasi skuad Harimau Selatan itu sebaliknya teruja biar pun skuad bimbingan Luciano Figueroa itu dibarisi pemain termahal Liga Malaysia (Liga M).

“Jika diberi tugas sebagai penjaga gol utama oleh jurulatih bertemu JDT nanti, saya sudah bersedia memikul amanah itu dengan sebaik mungkin sebagaimana ketika turun sebagai pemain gantian bertemu Pahang, Sabtu lalu.

“Selain tidak mahu pintu gol dibolosi oleh penyerang skuad JDT itu, saya berazam untuk membantu pasukan mencatat kemenangan pertama dalam saingan liga kerana sasaran kami adalah tiga mata apatah lagi beraksi di tempat sendiri.

“Walaupun misi itu diakui perit memandangkan skuad JDT pasti mempunyai motivasi tinggi selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut, tapi dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku dan TFC sudah buktikan pada musim lalu,” katanya.

Berdasarkan rekod musim lalu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu tewas tipis 0-1 di laman sendiri dalam aksi Liga Super, namun dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia juga di laman sendiri, skuad Penyu itu menang 1-0 hasil jaringan Malik Matt Ariff.

Ketika ditanya adakah dia gugup selepas diturunkan sebagai penjaga gol gantian bertemu skuad Tok Gajah sebelum pasukannya tewas 0-3 kepada skuad itu, pemain yang baharu menamatkan zaman bujangnya dengan gadis kelahiran Tampoi Johor, Nurfatimatulzahra Ishak itu menepis dakwaan berkenaan.

“Saya masih OK, tidak gugup, lagipun pengalaman yang dikutip ketika menyarung jersi pasukan T-Team, FELDA United dan Harimau Muda begitu berharga serta bermakna buat saya untuk beraksi lebih baik di benteng terakhir,” kata pemain berusia 25 tahun yang berketinggian 1.80 meter itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 2:13 PM