Nama Messi, Coutinho dan Rakitic dengan terjemahan bahasa Cina. FOTO Twitter Barcelona
Nama Messi, Coutinho dan Rakitic dengan terjemahan bahasa Cina. FOTO Twitter Barcelona
Daily Mail

SETIAP pemain skuad Barcelona akan menggunakan nama diterjemah bahasa Cina pada jersi mereka apabila berdepan Real Madrid pada separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol, awal pagi esok.

Penggunaan nama itu bertujuan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan setiap pemain utama Barcelona mengambil bahagian.

Kelab itu turut mengesahkan usaha itu juga diharapkan dapat membantu populariti Barcelona terus berkembang di Timur Jauh terutamanya China.

“Tindakan itu juga hadir bersama video ucapan tahniah sempena sambutan Tahun Baharu Cina dibuat oleh kelab itu yang disiarkan Isnin lalu. Antara pemain utama terbabit adalah Leo Messi, Gerard Pique, Marc-Andre ter Stegen dan Samuel Umtiti,' menurut kenyataan dikeluarkan kelab itu.

“Tahun ini juga penting sebagai strategi untuk mengukuhkan Barca di China yang akan melalui pengalaman penting menjelang musim panas depan apabila mengunjungi China dan Jepun pada jelajah pra-musim mereka.”

Barcelona meletak sasaran untuk menjuarai Piala Raja Sepanyol kali kelima berturut-turut dengan Valencia atau Real Betis akan menanti mereka di final sekiranya menewaskan Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 6:11 PM