Madrid: Barcelona tidak perlu menunggu lama bagi memperbetulkan kesilapan yang menyaksikan mereka tewas Piala Super Sepanyol kepada Athletic Bilbao apabila mereka kembali ke San Mames esok bagi perlawanan pembukaan La Liga.

Juara Eropah itu dibelasah 4-0 di Bilbao seminggu lalu apabila benteng pertahanan kelab Catalunya itu gagal menangani kehadiran Aritz Aduriz yang menyumbat hatrik dan kemudian menjaringkan gol pada perlawanan kedua apabila kelab Basque itu menang 5-1 secara agregat.

Jurulatih Barca, Luis Enrique turut mengalami masalah pertahanan ketika pasukannya berhasrat membalas dendam.

Gerard Pique digantung empat perlawanan selepas dibuang padang ketika seri 1-1 Isnin lalu pada perlawanan kedua Piala Super Sepanyol kerana memaki hamun pegawai perlawanan.

Jordi Alba diragui kerana kecederaan pangkal paha, manakala Neymar belum kembali berlatih sejak menghidap beguk dua minggu lalu.

Jurulatih itu juga perlu memutuskan siapa bermain di pintu gol. Claudio Bravo melakukan penampilan pertama kempen di laman sendiri menentang Athletic selepas Marc-Andre ter Stegen dipilih bagi dua perlawanan pertama musim yang mana Barca dibolosi lapan kali.

Bravo penjaga gol nombor satu di La Liga musim lalu manakala Ter Stegen bertugas pada Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara.

“Pasti menarik jika saya bermain dalam La Liga, tapi saya tidak tahu. Ia keputusan jurulatih. Buat masa ini, kami perlu berlatih dan bekerja keras,” ujar Ter Stegen.

Real Madrid memulakan kehidupan baru di bawah kendalian Rafael Benitez dengan bertandang ke Sporting Gijon, esok. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:05 AM