TER Stegen (kanan) tewas empat kali ketika bertemu Liverpool pada separuh akhir Liga Juara-Juara di Anfield. — FOTO Agensi
TER Stegen (kanan) tewas empat kali ketika bertemu Liverpool pada separuh akhir Liga Juara-Juara di Anfield. — FOTO Agensi
AFP

PENJAGA gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen terpaksa diketepikan bagi final Piala Raja Sepanyol menentang Valencia, Sabtu ini selepas pemain Jerman itu gagal pulih tepat pada masanya daripada kecederaan lutut.

Dalam satu kenyataan, juara Sepanyol itu menyatakan penjaga gol itu “masih berasa kurang selesa di lutut kanan dan akan terus menerima rawatan dalam beberapa minggu ini.”

Ter Stegen tonggak utama kejayaan Barca memenangi La Liga musim ini, beraksi 35 daripada 38 perlawanan liga kelab Catalan itu ketika mereka berakhir 11 mata di depan Atletico Madrid di puncak carta.

Jasper Cillessen dijangka mengisi tempat Ter Stegen seperti ketika seri 2-2 di Eibar pada perlawanan terakhir liga musim ini.

Barca akan muncul pasukan pertama menjuarai Piala Raja Sepanyol lima kali berturut-turut jika mereka mengalahkan Valencia di Seville.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 9:02 AM