Pemain tengah Athletic Bilbao, Iker Muniain muncul wira pasukannya ketika menyingkirkan Barcelona pada aksi Piala Raja Sepanyol. FOTO EPA
Pemain tengah Athletic Bilbao, Iker Muniain muncul wira pasukannya ketika menyingkirkan Barcelona pada aksi Piala Raja Sepanyol. FOTO EPA
Reuters

Madrid: Penyandang juara, Barcelona tersingkir dari saingan Piala Raja Sepanyol selepas tewas 2-3 di tangan Athletic Bilbao pada aksi yang berlarutan ke masa tambahan dalam saingan 16 terakhir, pagi ini, ketika musim sukar kelab itu berterusan.

Athletic menguasai perlawanan dan mendahului menerusi gol awal Iker Muniain yang mengatasi jangkaan Marc-Andre ter Stegen.

Bekas penyerang Manchester City, Ferran Torres menyamakan kedudukan buat Barca dengan rembatan kaki kanan menarik yang juga gol pertamanya buat kelab itu.

Inigo Martinez kembali meletakkan Athletic di depan selepas 86 minit permainan apabila berjaya mengatasi Gerard Pique untuk meledak gol.

Namun Pedri berjaya menemui sentuhan jaringan pada minit akhir perlawanan untuk membawa aksi ke tambahan masa.

Pemain Terbaik Perlawanan, Muniain meledak gol kemenangan selepas menyempurnakan penalti apabila pemeriksaan menerusi video bantuan pengadil mendapat bola terkena tangan Jordi Alba.

Athletic menyertai Real Madrid, Real Sociedad, Valencia, Real Betis, Rayo Vallecano, Mallorca dan Cadiz yang mara ke peringkat suku akhir.

Kempen mengecewakan Barcelona memberi satu lagi tamparan dengan kekalahan pada saingan itu.

Tersingkir dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, mereka tewas kepada Bilbao dalam aksi ulangan final tahun lalu di mana mereka menang 4-0 dan dua antara pemain yang menyinar, Ansu Fati serta Pedri terpaksa direhatkan kerana kecederaan.

"Kami akan lihat pada Jumaat apa yang berlaku pada mereka tetapi agak membimbangkan bagaimana Ansu Fati meninggalkan perlawanan," kata pengendali Barcelona, Xavi Hernandez.

"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan saya bangga dengan pemain yang memberi semangat juang tinggi dan aksi terbaik mereka.

"Kami masih mempunyai LaLiga dan Piala Europa untuk bersaing malah kami akan melakukannya sehingga penghujung."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:06 AM