Izham masih menanti aduan rasmi PFA. FOTO NSTP
Izham masih menanti aduan rasmi PFA. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Belum ada sebarang aduan rasmi dikemukakan oleh barisan pemain Perlis kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) susulan isu tunggakan gaji selama hampir dua bulan yang masih gagal dibayar oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail yang masih menanti aduan rasmi daripada pemain berkenaan.

"Ada pemain yang memang sudah berhubung dengan PFAM dan mereka juga sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

"Majoriti pemain adalah pemain berpengalaman dan PFAM sentiasa bersedia sekiranya mereka datang mengemukakan laporan rasmi," katanya.

Ditanya berhubung aduan pemain Perlis yang juga bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali sebelum ini seperti dilaporkan media, Izham berkata ia juga aduan berbentuk tidak rasmi.

Justeru itu, Izham menasihatkan setiap pasukan supaya lebih serius dan teliti sebelum membuat sebarang keputusan. "Sebab setiap keputusan yang dibuat tanpa sebarang penelitian, akan membawa kesan yang tidak baik kepada semua pihak," katanya.

Arena Metro hari ini melaporkan pengurusan Perlis hanya mempunyai baki tiga hari saja lagi untuk menyelesaikan isu gaji tertunggak sebelum semua pemain mengambil tindakan kemungkinan untuk ‘angkat kaki’ meninggalkan pasukan itu. Pengawai khas Presiden PFA, Hasmawi Hassan menjelaskan setiap pemain boleh mengambil apa jua tindakan susulan termasuk tidak lagi mahu bermain untuk pasukan apabila gaji tertunggak lebih dua bulan.

Beliau berkata, mengikut kontrak antara pemain dan pihak pengurusan, tempoh dua bulan terbabit akan tamat pada 7 Februari ini sekali gus PFA mempunyai masa tiga hari bagi menyelesaikan tunggakan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 7:29 PM