IZHAM (kiri) berkata musim ini PFAM tidak menerima sebarang laporan berkaitan tunggakan gaji pemain Liga M. FOTO Ihsan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia
IZHAM (kiri) berkata musim ini PFAM tidak menerima sebarang laporan berkaitan tunggakan gaji pemain Liga M. FOTO Ihsan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Walaupun terdapat perkhabaran bahawa beberapa pasukan sudah mula menghadapi masalah gaji namun Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan sehingga kini tiada laporan membabitkan masalah itu melanda pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pemain bahawa mereka mengalami masalah tunggakan gaji hingga perlu diambil perhatian segera.

Beliau berkata, walaupun terdapat khabar angin masalah terbabit sudah mula melanda beberapa pasukan Liga M namun PFAM mengambil pendekatan hanya bertindak berdasarkan kepada laporan rasmi saja.

"Pada musim ini, PFAM tidak menerima lagi sebarang laporan berkaitan tunggakan gaji pemain Liga M.

"Walaupun terdapat perkhabaran secara tidak rasmi membabitkan ada pasukan tertentu sudah berhadapan masalah gaji namun kita hanya menunggu laporan rasmi daripada pemain mereka," katanya.

Mengikut rekod, PFAM sebelum ini mendedahkan tunggakan gaji pemain Melaka United berjumlah RM2.3 juta membabitkan tempoh enam bulan iaitu dari Julai hingga Disember tahun lalu.

Situasi terbabit tidak hanya membelenggu pasukan itu saja apabila PFAM turut memberitahu bahawa Sarawak United turut berdepan masalah tunggakan gaji lebih RM400,000.

Berikutan itu, PFAM akan mengambil tindakan terhadap pengurusan kedua-dua pasukan terbabit kerana tidak memberikan sebarang kerjasama untuk menyelesaikan isu tunggakan secara baik.

PFAM akan mengambil tindakan undang-undang sebaik keputusan perbicaraan oleh Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di capai pada 6 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 5:10 PM